PELAN SIMPANAN UNTUK MASA DEPAN ANAK ANDA

Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Tapi adakah kemampuan kewangan kita bakal menjadi batasan? Kerana itu perancangan kewangan penting, lagi-lagi Jika anda sudah atau ingin berkeluarga. Anak-anak ibarat kain putih, menjadi tugas ibu bapa untuk mencorakkan masa depan mereka. Menyentuh tentang matlamat pendidikan masa depan, ia perlu bermula dari peringkat awal bagi mencipta kecemerlangan di masa hadapan.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPN-i)
SSPN merupakan skim simpanan pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). SSPN ini berfungsi seperti akaun simpanan biasa, tetapi tanpa pilihan pengeluaran.Anda mungkin bertanya, apa kebaikan akaun ini? Antaranya termasuklah insentif menarik seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan, perlindungan takaful, dan kadar dividen .

Skim Pendidikan Insurans Kanak-kanak
Ada dua jenis asas: polisi bertempoh tetap dan polisi insurans berkaitan pelaburan. Polisi bertempoh tetap berfungsi seperti akaun simpanan dengan manfaat insurans, manakala polisi insurans berkaitan pelaburan membolehkan anda membuat pelaburan di samping menawarkan perlindungan.

Akaun simpanan anak atau akaun deposit tetap
anda boleh melakukan simpanan dengan membuka akaun simpanan atau akaun deposit tetap dengan bank tempatan. Kadar faedah untuk akaun-akaun ini berbeza mengikut bank pilihan. Oleh itu, pastikan anda membuat pilihan yang bijak.

Emas
Simpanan emas boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk emas fizikal, sama ada dalam bentuk barang kemas, bar emas atau syiling dinar emas. Disebabkan pelbagai bentuk pilihan yang boleh dibuat, anda perlu membuat kajian yang teliti sewaktu membuat pembelian emas ini.Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dan berdaftar untuk mengelakkan anda ditipu dengan pelbagai skim pembelian emas yang meragukan.

Tabungan masa depan ini, boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan, sebagai contoh boleh digunakan sebagai deposit untuk membeli rumah pertama mereka. Seperti yang kita ketahui, anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan akan mengalami kesukaran bagi mendapatkan rumah pertama mereka kerana tidak mempunyai sebarang simpanan.
Simpanlah walau RM10 sebulan untuk masa depan anak-anak.

Sebab kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang. Jika ada simpanan, sekurang-kurangnya masih ada bekalan dana untuk kegunaan kelak. Ibubapa yang bijak adalah mereka yang bukan bekerja untuk dihabiskan tetapi bersiap sedia untuk hari mendatang. Pastikan anda mengkaji setiap pilihan dengan teliti, dan pelbagaikanlah bentuk pelaburan bagi mengurangkan risiko yang bakal dihadapi. Pengorbanan yang pastinya sangat berbaloi untuk masa depan anak-anak & Selamat menyimpan!