PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI YANG BERHEMAH

Kewangan ialah suatu aspek yang sangat penting dalam kehidupan dan semua orang perlu merancang kewangan masing-masing.Konsep pengurusan kewangan peribadi itu sendiri sebenarnya amat ringkas perbelanjaan tidak sepatutnya melebihi pendapatan dan simpanan perlu ditetapkan sebelum membuat perbelanjaan. Tidak dinafikan wang merupakan medium yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Namun kita sebagai manusia sering kali melakukan kesilapan dalam menguruskan wang sehinggakan ia bukan sahaja menghantui golongan berpendapatan rendah, malahan yang berpendapatan agak lumayan juga tidak dapat lari dari masalah pengurusan kewangan.

Tidak menguruskan kewangan dengan bijak boleh mengakibatkan banyak kesan buruk. Individu mungkin berdepan dengan masalah hutang, kekurangan wang tunai, dan kesukaran dalam memenuhi keperluan asas. Selain itu, mereka mungkin tidak dapat mencapai matlamat kewangan jangka panjang seperti membeli rumah, melabur dalam pendidikan, atau persaraan yang selesa. Kehilangan kawalan kewangan juga boleh menyebabkan kecemasan, stres dan tekanan mental yang tinggi. Akhirnya, kesan buruk yang lebih besar termasuk risiko kebankrapan dan kehilangan harta benda, dan mungkin mempengaruhi kehidupan masa depan individu serta keluarga. Oleh itu, penting untuk menguruskan kewangan.Namun kita haruslah mendisiplinkan diri bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan.Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam merancang kewangan.

  • Pastikan setiap kali menerima gaji bahagian wang yang hendak dijadikan simpanan disimpan dalam akaun khas.
  • Rancang kewangan anda dengan teliti. Wujudkan pelan perbelanjaan peribadi khas yang meliputi perbelanjaan harian, mingguan, bulanan sehinggalah perbelanjaan tahunan.
  • Elakkan diri dari berhutang kecuali untuk membeli benda seperti kereta dan rumah. Jika tidak mampu, disarankan supaya anda menangguhkan dulu hasrat sehingga anda benar-benar mampu.
  • Amalkan sikap menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum melangkah pergi ke pusat membeli belah bagi mengelakkan anda dari membelanjakan wang untuk barangan yang tidak penting.
  • Jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan dan hanya akan membebankan anda di kemudian hari.
  • Pastikan anda mempunyai tabungan khas bagi digunakan ketika kecemasan.

Mempunyai rancangan kewangan yang teratur dan terperinci, individu dapat menguruskan pendapatan, perbelanjaan, hutang, dan pelaburan dengan lebih berkesan. Rancangan kewangan yang baik dapat membantu individu mencapai matlamat kewangan mereka dalam jangka pendek dan jangka panjang. Secara keseluruhannya, dengan mempunyai rancangan kewangan yang teratur dan terperinci serta mengambil tindakan dalam memulakan rancangan kewangan anda sendiri, individu dapat mencapai matlamat kewangan anda dan meningkatkan kualiti hidup.