WASPADA FENOMENA EL NINO

Fenomena El Nino dijangka menjadi lebih ekstrem dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara pada tahun ini susulan faktor pemanasan global yang dihadapi dunia pada masa ini.Secara mudahnya, fenomena El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.Ketika ia berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru disebabkan kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik. Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya.El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951-1952 dan fenomena paling teruk adalah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna kita boleh memandang sepi sahaja hal tersebut kerana walaupun ia tidaklah seteruk yang pernah berlaku sebelum ini, namun kita tetap merasai bahangnya.

Antara risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan El-Nino termasuk kegagalan fungsi organ badan akibat suhu teras badan melebihi 40°C (heat stroke), keletihan dan kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan otot.Sekiranya gejala-gejala awal ini tidak diberikan perhatian segera dan serius, serta rawatan sewajarnya maka risiko kematian adalah sangat tinggi.WHO (World Health Organisation) mencadangkan kesan kesihatan awam yang terkait dengan fenomena El-Nino adalah seperti peningkatan penyakit respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan yang berisiko (asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema).Jangan tangguh rawatan atau pemulihan yang berkaitan dengan ketegasan haba kerana ianya juga boleh menyebabkan organ dalaman badan seperti buah pinggang, jantung dan hati gagal berfungsi secara normal.

El Nino merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Namun, langkah pencegahan boleh dilaksanakan di peringkat individu serta komuniti secara kolektif .Cakna diri dengan membuat penilaian dan kawalan suhu badan (rekod kesihatan) secara kendiri.Bagi ibubapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya apabila anak-anak terkesan dengan masalah dehadrasi. Segera rujuk dan dapatkan nasihat dari pakar perubatan sekiranya ada mempunyai gejala berkaitan ketegasan haba/strok haba.Cuba kurangkan aktiviti diluar permis/rumah serta patuhi arahan semasa dan pemakluman kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak Kementarian Kesihatan atau mana-mana agensi yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan.