Azam Tahun Baru

Selamat Tahun Baru 2022, begitulah pantasnya masa berlalu! Namun kini, kita berdepan dengan cara kehidupan norma baharu bagi mengelakkan diri kita menjadi mangsa Covid-19. Seperti biasa, tradisi yang tidak ditinggalkan oleh masyarakat umum menjelang tahun baru ialah menetapkan azam-azam yang ingin dicapai pada tahun tersebut. Walaubagaimanapun, syabas kepada mereka yang sudah pun menetapkan azam untuk tahun 2022. Walaupun belum melaksanakannya lagi, langkah perancangan ini masih penting kerana ia menunjukkan kita ada semangat untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Kepada yang belum memikirkan atau menetapkan lagi azam, jangan risau kerana masih ada masa untuk fikir masak-masak. Azam-azam tersebut tidak perlu besar. Sekecil-kecil azam pun masih baik kerana yang penting ialah kita menjadi insan lebih baik dari sebelumnya. Ramai yang sudah memasang azam, menyenaraikan apa yang ingin dicapai pada tahun ini, malah mungkin ada yang bertekad mahu memperbaharui azam yang belum direalisasikan. Pendek kata, menyenaraikan azam baharu menjelang tahun baru adalah perkara biasa kepada semua orang yang mahukan pembaharuan dalam hidup.

Persoalannya perlukah setiap kali tahun baru mesti ada azam baru? Bagaimana pula dengan azam yang lama, apa sudah jadi dengannya? Sudah terlaksanakah semua azam sebelum ini? Azam dengan matlamat sebenarnya tidak sama. Matlamat bermakna sesuatu yang mahu dicapai dalam hidup kita. Ada matlamat jangka pendek dan ada pula matlamat jangka panjang. Azam sebaliknya ialah kekuatan dalaman bagi memacu diri merealisasikan setiap impian dan matlamat yang telah ditetapkan. Misalnya, azam tahun baru adalah untuk menjadi lebih tabah, konsisten, sabar, gigih dan bersungguh-sungguh.Itulah namanya azam

Secara umumnya kita boleh berazam setiap hari, namun jarang melakukannya kerana menunggu hari yang bermakna atau sesuai dengan kita bagi tujuan melaksanakan azam tersebut. sejauh mana keazaman kita sebelum ini dipenuhi dan apakah jaminan untuk mencapai azam tersebut bagi tahun yang mendatang? kita tidak akan capai semua yang dihajati kerana sifat semula jadi yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu yang buruk. Selain itu, unsur jahat dan baik yang berbolak-balik di dalam diri, sentiasa cuba untuk menghalang keazaman kita. kita sentiasa dituntut untuk seimbangkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan hidup. Ini bermakna, untuk mencapai keseimbangan diri kita perlu refleksi diri terlebih dahulu sebelum meningkatkan keazaman bagi mencapai sasaran yang ditentukan.

Tak ada siapa yang menafikan tahun 2021 berlalu begitu suram. Kita semua berhadapan dengan kesan pandemik yang melanda dunia. Semua orang susah. Namun, tahun ini apa kata kita bangkit daripada kesedihan tahun lalu. Kita pasti akan berhadapan dengan perkara yang menyedihkan dan mencabar untuk tahun ini. Tetapi apa yang penting ialah kita tahu bagaimana untuk mencari ketenangan dan motivasi meneruskan kehidupan. Ada banyak perkara baik yang akan menanti kita sepanjang tahun ini. Bersedialah menyambut kebahagiaan dan kegembiraan pada tahun ini dengan minda yang positif dan gaya hidup yang lebih baik. Bergaullah dengan orang yang boleh menjadikan kita lebih bercita-cita besar. Selamat menjadikan tahun ini sebagai tahun terbaik untuk kita semua!

YouTube
YouTube
Set Youtube Channel ID
Share to Instagram
Share to WhatsApp