PERSEDIAAN KEWANGAN SEBELUM BERSARA

Mahu atau tidak, semua orang akan bersara pada satu hari nanti dan persaraan merupakan satu detik untuk golongan-golongan yang berpengalaman meninggalkan dunia pekerjaan setelah berpuluh-puluh tahun bekerja demi mencari rezeki. Tetapi adakah anda telah bersedia daripada segi kewangan untuk bersara? Setiap individu yang bakal menghampiri waktu tempoh persaraan sudah tentu mempunyai impian untuk bersara dalam keadaan mempunyai wang persaraan atau pencen yang mencukupi demi menampung kehidupan berkualiti selepas persaraan.

Adakah persediaan kewangan anda sebelum persaraan mencukupi untuk menampung kos sara hidup dan kesihatan di hari tua kelak? Persoalannya, bukan lambat atau cepat keinginan anda untuk bersara. Namun, apa yang lebih penting adalah perancangan anda ke arah persaraan itu perlu dilakukan dari awal. Perancangan persaraan pada hari tua amatlah penting bagi menjamin kehidupan selesa serta bebas dari bebanan hutang. Kebergantungan kepada simpanan KWSP sahaja tidak mungkin mencukupi memandangkan tempoh masa dengan gaya hidup anda selepas bersara masih panjang. Apakah yang akan terjadi jika anda gagal merancang persaraan dengan betul?

Ini bermakna melengkapkan diri dengan persediaan kewangan sebelum bersara amat penting. Oleh itu, mulakan perancangan seawal yang mungkin, walaupun untuk sampai ke tempoh persaraan tersebut masih panjang.Persediaan awal penting kerana kos perubatan, pendidikan dan sara hidup semakin lama semakin meningkat.

Berikut antara tips yang boleh diguna pakai dalam menyediakan persediaan kewangan sebelum bersara.

1. Bebas Hutang
Pastikan sebelum anda bersara anda telah melangsaikan 80 peratus hutang yang masih tertangguh. Contoh seperti hutang sewa beli kenderaan, kredit kad, pinjaman pendidikan atau pinjaman peribadi. Jangan sesekali menambah hutang baharu yang mengenakan kadar faedah yang tinggi.

2. Menabung
Mulakan dengan jumlah kecil dan tetapkan tempoh masa. Jangan berlengah dalam mulakan tabiat menabung.

3. Menilai status kewangan semasa
Anda perlu menilai pendapatan yang anda perlu ada ketika persaraan nanti. Anda perlu menilai simpanan yang sedia ada beserta asset lain seperti insurans, rumah, tanah, saham dan sebagainya.

4. Berdisiplin dalam Merancang Kewangan
Berhati-hati dalam merancang kewangan anda. Elakkan daripada membuat pengeluaran wang sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda

5. Lengkapkan diri dengan kemahiran
Mahirkan diri dengan kemahiran sedia ada yang mungkin amat berguna ketika bersara nanti untuk menjana pendapatan sampingan jika perlu.

Apa yang penting adalah anda perlu melengkapkan diri dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan yang memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.Paling penting, selepas mengambil keputusan untuk bersara dan tidak lagi bekerja, perlu ada perancangan supaya rutin harian tetap sentiasa sibuk dan dipenuhi dengan kegiatan bermanfaat.

Kesejahteraan dan kebajikan di usia emas jika diatur sedari awal bukan sahaja membolehkan kita mampu menikmati umur yang masih berbaki dalam keadaan selesa, tetapi akan sentiasa dihargai keluarga dan masyarakat sekeliling.Jika anda ingin memastikan keselesaan di waktu persaraan, anda bolehlah bermula menjaga kewangan anda dengan serius dengan mengambil kira perancangan jangka panjang, tak lupa juga berhenti berbelanja dengan perkara-perkara yang hanya memberi kepuasan buat sementara waktu.