MASALAH KESIHATAN MENTAL AKIBAT COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran untuk berdepan kesan trauma masalah mental besar-besaran dalam komuniti susulan penularan COVID-19. Wabak COVID-19 yang melanda Malaysia memberi kesan sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan negara. Bahkan, impaknya juga turut membabitkan institusi keluarga sehinggalah kepada aspek dalaman psikologi dan kesejahteraan diri manusia. Kesihatan mental adalah elemen penting dalam menentukan kefungsian diri manusia dan mempengaruhi tahap kesihatan serta kesejahteraan, terutama dalam menghadapi penularan wabak ini.

Kesan pandemik COVID-19 telah menembusi setiap lapisan masyarakat dari semua sudut yang boleh difikirkan. Walaupun tujuan sekatan pergerakan sosial adalah untuk melindungi rakyat kita daripada jangkitan, tetapi ia secara tidak sengaja telah membawa risiko memburukkan lagi kesihatan mental rakyat.Di sebalik kesan COVID-19 kepada masyarakat dan keluarga akibat, kesihatan mental juga berlaku kepada mereka yang tidak boleh melawat anggota keluarga dirawat di hospital.

Dalam keadaan sekarang, anggota masyarakat perlu lebih berperanan, misalnya ahli keluarga perlu peka kerana pembabitan mereka sangat penting bagi mengelakkan masalah kesihatan mental. Lebih menakutkan kemurungan dan tekanan yang tidak ditangani boleh mendorong kepada perbuatan bunuh diri.
Namun dalam konteks pandemik yang berlaku sekarang ini, secara realistiknya, kawalan kendiri amat memainkan peranan yang penting dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Kawalan kendiri yang dimaksudkan ialah kemampuan dan keupayaan diri untuk mengamalkan segala jenis prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan seperti penjarakan fizikal dan sosial, menjauhi tempat sesak, membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri, serta sebagainya. Selain daripada itu, tindakan untuk berjumpa pakar dan pegawai perubatan yang berkaitan dalam bidang bagi mendapatkan bantuan perundingan dilihat mampu mengurangkan gangguan emosi dan perasaan yang dihadapi. Malahan, ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa walaupun dalam tempoh kawalan pergerakan berlangsung.

Walaupun ia perkara biasa untuk berasa tertekan, terharu dan gugup semasa pandemik COVID-19, individu dan keluarga yang berasa tertekan atau menghadapi masalah kesihatan mental boleh cuba mendapatkan tidur yang cukup, sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, makan makanan yang berkhasiat dan mengelakkan merokok, meminum alkohol dan penyalahgunaan dadah. Dengan strategi penjagaan kendiri ini yang sangat penting untuk kesihatan fizikal dan mental, seseorang dapat mengawal dengan baik hidupnya.

Sepanjang pandemik ini, terdapat beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menawarkan perkhidmatan mereka bagi membantu golongan yang terjejas akibat daripada Covid-19. Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia diwujudkan bersama Mercy dan agensi-agensi lain untuk menangani masalah kesihatan mental berkaitan pandemik Covid-19. Sebaiknya, dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku. Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu.

Keadaan pandemik yang masih belum kelihatan penghujungnya boleh menjadi faktor terjejasnya kesihatan mental seseorang.i musim pandemik ini, marilah kita bersama-sama mengambil berat akan keadaan mereka di sekeliling dan saling membantu bagi yang memerlukan.Hal ini kerana, ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina. Justeru, setiap individu harus berganding bahu dan bersama-sama menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan mental dan emosi dari semasa ke semasa.