Realiti dunia hari ini menyaksikan manusia bekerja dan berusaha siang dan malam untuk mencari kesenangan dan keselesaaan hidup. Sudah menjadi lumrah manusia mendambakan kehidupan yang sempurna dengan berkereta, mendiami rumah yang dilengkapi dengan perabot dan kemudahan yang serba canggih, berpakaian dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak semua orang dapat menikmati keindahan dan keseronokan dunia meskipun setelah bertungkus lumus dan berhempas pulas mencari rezeki.
Rata-ratanya masyarakat terpaksa berhutang atau membuat pinjaman kewangan untuk menikmati taraf hidup yang lebih selesa dengan tujuan untuk memiliki keperluan asas seperti kenderaan, rumah dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang berhutang bagi tujuan menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau meluaskan lagi empayar perniagaan. Malah seakan-akan sudah menjadi trend dalam dunia hari ini, ramai yang terpaksa mendapatkan pinjaman kewangan bagi tujuan melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pendidikan dengan dibiayai oleh pihak-pihak tertentu. Dalam situasi ini, seseorang itu boleh berhutang tetapi jumlah hutang tersebut mestilah berkadaran dengan jumlah pendapatan di mana individu tersebut dapat melunaskan hutangnya dan menjalani kehidupan dengan baki pendapatan yang ada.
Bebanan hutang yang ditanggung biasanya adalah disebabkan oleh sikap individu itu sendiri yang gagal mendisiplinkan diri untuk melunaskan pembayaran atau berbelanja serta membuat pinjaman melebihi kemampuan pendapatan. Tindakan memberi bantuan kepada mereka yang berhutang dengan ceti haram dibimbangi akan menyuburkan lagi aktiviti pemberian hutang.Orang yang dibebani hutang tidak berasa tenang dan bebas jika sebahagian besar pendapatannya terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai jenis hutang. Tiada sesiapa mahu hidup bergelumang dengan hutang. Hutang sebenarnya berkait rapat dengan cara perbelanjaan seseorang. Apatah lagi bagi mereka yang mengalami perbelanjaan defisit, sudah tentu lebih memeritkan. Hendak tunggu gaji berikutnya adalah waktu paling sukar.
Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat, atau sememangnya rakyat Malaysia perlu dibantu untuk mengurus pinjaman atau hutang kerana kurangnya pengetahuan, kemahiran dalam soal pengurusan kewangan peribadi serta sikap ambil tidak kisah terhadap hutang yang dibuat? Pendidikan kewangan dilihat mampu membantu rakyat atau pengguna berdepan situasi ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu serta mampu menangani krisis kewangan peribadi dan keluarga yang semakin meruncing
Lazimnya apa yang membuatkan seseorang itu terdesak atau perlu berhutang adalah apabila:
· Hilang Punca Pendapatan Utama
Kes seperti ini seringkali menyebabkan anggota keluarga yang ditinggalkan harus melunaskan hutang atau pinjaman peribadi yang masih berjalan.
· Kehilangan Pekerjaan
Hilang pekerjaan adalah satu mimpi ngeri dan yang paling ditakuti.Disebabkan ini peminjam tidak mampu menyelesaikan pinjaman yang ada.
· Perbelanjaan untuk perubatan
Ini adalah satu lagi jenis hutang yang tak terjangka. Mungkin ibu atau ayah kita tiba-tiba masuk hospital ataupun kita sendiri mengalami kemalangan ringan. Bil hospital selalunya mencecah ribuan ringgit.
· Tidak buat bajet
Tanpa strategi atau bajet yang betul, kita takkan tahu berapa banyak yang kita boleh belanja dan berapa banyak yang perlu disimpan.
Kepada penghutang jangan sesekali melarikan diri daripada individu yang anda berhutang sebaliknya berhadapan dengan mereka dan jelaskan situasi sebenar anda.Sekiranya tidak mampu untuk menjelaskan keseluruhan hutang berkenaan, bayarlah sedikit demi sedikit secara ansuran dan paling penting rekodkan segala hutang. Sekiraranya tidak berdisiplin dalam merencana perbelanjaan ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah.Berusaha mendisiplinkan diri dengan membayar hutang secara konsisten, tidak membuat hutang baru selagi hutang lapuk tidak diselesaikan serta menjauhkan diri daripada membuat pinjaman along kerana ia ‘menjerat’ peminjam dengan kadar faedah yang membebankan.