GOLONGAN BELIA BERPOTENSI MUFLIS

Bila dengar muflis atau bankrup ni memang ramai yang takut dan menjadi igauan ngeri! Muflis ni boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti gagal bayar kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan sebagainya. Mengikut kajian,kebanyakan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis merupakan dalam lingkungan umur 25 tahun hingga 44 tahun.

Kadar muflis yang tinggi disebabkan membuat pinjaman bagi untuk penggunaan peribadi bukannya untuk pelaburan dan pengumpulan kekayaan dan Ini semakin membimbangkan. Ia berlaku dalam kalangan peminjam muda yang mempunyai pengetahuan kewangan yang terhad dan tidak begitu celik kewangan.

Anda sendiri pasti perasan penyakit yang melanda golongan muda di Malaysia ketika ini ? Adakah hidup ini hanya sekadar memandu kereta mewah atau berbelanja untuk membeli barangan dari jenama antarabangsa dan ketahuilah, jika anda rasakan ya, itu adalah simptom awal ke arah muflis. Tindakan untuk berbelanja melebihi had pendapatan ini ternyata bukanlah suatu perbuatan yang bijak dalam kewangan individu.

Jika anda rasa anda sedang kearah bakal diisyitharkan muflis, ikuti tips dibawah untuk mengetahui bagaimana anda boleh dapatkan pertolongan dan pulihkan keadaan kewangan anda.

1. Dapatkan Pertolongan Professional Percuma
Jika anda berhadapan masalah dalam mengendalikan hutang dan melangsaikan pinjaman, anda boleh dapatkan pertolongan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan.

2. Bincang Dengan Pihak Pemiutang
Sekiranya anda menghadapi masalah dalam melakukan pembayaran pinjaman, berunding bersama pihah bank anda. Berbincang dengan pihak bank dan rumuskan aliran pembayaran balik yang anda mampu.

3. Nilai Semula Aset
Selain daripada mengurangkan perbelanjaan anda, anda patut pertimbangkan untuk menggunakan simpanan anda untuk melangsaikan hutang atau pinjaman. Anda juga patut mempertimbangkan untuk keluarkan wang daripada pelaburan sekiranya ada untuk kurangkan hutang dan pinjaman yang sedia ada kerana ini akan membantu untuk mengelak anda diisytihar muflis. Jika anda mempunyai berbagai aset, jual aset tersebut dan gunakan wang untuk jelaskan hutang dan pinjaman anda.

Pendedahan awal tentang bijak kewangan terhadap golongan muda perlu dilakukan sebagai pencegahan. Ilmu ini perlu dipupuk dan dipraktikkan supaya mampu mengukuhkan kewangan anak muda.

Melihat daripada kos hidup yang kian meningkat dewasa ini, tidak meragukan apabila muflis telah menjadi satu fenomena biasa. Seharusnya permasalahan ini di bendung dari awal supaya tidak menjejaskan golongan belia di masa hadapan.Sebelum anda mengambil pinjaman atau berhutang, jangan gopoh kerana anda patut pastikan mendapatkan pinjaman pada kadar faedah terendah dan ukur baju di badan sendiri bukan dengan niat untuk meningkatkan status sosial dalam kalangan rakan sebaya ataupun masyarakat.