BAGAIMANA SAYA MENYELAMATKAN DIRI DARIPADA MUFLIS

Satu kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar.

19 Februari 2004. Satu tarikh yang membanggakan untuk keluarga saya. Itu tarikh yang tertera di atas tiket penerbangan saya, Aliff*,anak lelaki sulung dalam keluarga, yang akan meninggalkan Bintulu, Sarawak dan memulakan kehidupan baru mencari rezeki di Kuala Lumpur. Ketika itu umur saya 26 tahun. Saya telah berjaya mendapat kerja sebagai Polis Bantuan di Kuala Lumpur, dan telah ditugaskan untuk bekerja di sebuah bangunan kerajaan yang penting. Mendapat pekerjaan di Semenanjung ialah satu peluang yang besar bagi saya – bukan saja untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi juga supaya saya dapat mengirim wang kepada ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal. Dia membesarkan saya dan adik-beradik saya seorang diri.

Sebagai Polis Bantuan, saya termasuk dalam golongan penjawat awam. Saya berasa bangga dapat berkhidmat dengan kerajaan. Seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, saya percaya bekerja dengan kerajaan ialah satu perkara terhormat. Pada masa itu saya belum sedar bahawa ramai orang suka mengambil kesempatan terhadap penjawat awam seperti saya disebabkan oleh gaji tetap yang kami terima. Sekarang sudah bulan Mei 2021 dan usia saya akan menjangkau 44 tahun. Dulu saya yakin berpindah ke Semenanjung akan mengubah hidup saya, tetapi saya tidak sangka yang kehidupan saya akan menjadi bertambah buruk.

*Nama sudah ditukar


Membiayai Kehidupan Baru

Saya mula bekerja sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya belum ada tempat tinggal yang tetap dan tiada kenderaan untuk bergerak. Jadi, saya perlu mencari rumah sewa dan membeli motosikal. Untuk sementara waktu, saya menyewa sebuah bilik untuk jangka masa pendek iaitu selama 2 minggu. Jadi saya ada tempoh dua minggu untuk mencari tempat tinggal yang sesuai.Pada masa itu, saya tidak sedar bahawa perkara utama yang perlu disediakan apabila hendak menyewa bilik ialah wang deposit.Saya tidak tahu bahawa kita perlu membayar sekurang-kurangnya 2.5 bulan wang deposit sewa serta deposit utiliti. Sedikit wang simpanan yang saya bawa dari Bintulu sudah hampir kehabisan. Tak mungkin saya boleh meminjam begitu banyak wang daripada ahli keluarga atau kawan-kawan saya untuk membayar deposit rumah.

Saya juga menghadapi masalah untuk membeli motosikal. Saya telah merancang untuk mengambil pinjaman yang saya akan bayar balik setiap bulan dengan menggunakan duit gaji saya. Tetapi pihak bank meminta saya menunjukkan slip gaji selama 3 bulan, yang saya belum ada. Jadi, permohonan pinjaman saya telah ditolak. Pada hari ketiga saya bekerja, saya berbual dengan seorang rakan sekerja dan menceritakan masalah saya kepada dia. Kami cepat menjadi kawan kerana dia pun berasal dari Sarawak seperti saya. Katanya saya tak perlu bimbang. Oleh sebab kami adalah penjawat awam, kami dijangkakan tidak akan kehilangan kerja, jadi kami boleh dapatkan pinjaman daripada koperasi kredit dengan mudah. Bayaran balik bulanan akan ditolak terus daripada gaji kami, jadi pihak koperasi ada jaminan bahawa bayaran balik akan dibuat setiap bulan, asalkan kami tetap bekerja.


Mengapa saya mula mengambil pinjaman

Sejurus selepas saya mula bekerja, saya telah mengambil pinjaman pertama daripada ko-operasi kredit berjumlah RM5,000. Tempoh pinjamannya 2 tahun, dan saya perlu membayar balik RM245 sebulan.Ketika itu, saya tidak banyak pengetahuan tentang pinjaman dan hutang. Saya hanya fikirkan yang saya boleh mendapat wang sebanyak RM5,000, jadi saya boleh beli motosikal yang berharga RM2,500, bayar deposit rumah berjumlah RM1,000, dan masih ada lagi baki wang yang tinggal. Dengan gaji sebanyak RM1,300, saya anggap bayaran RM245 sebulan untuk pinjaman tersebut tak akan menjadi satu masalah.

Selama 3 tahun saya menyewa bilik yang sama dan menaiki motosikal yang sama. Gaji saya sudah mencecah RM1,700. Tapi saya tidak berhati-hati dalam perbelanjaan saya. Jadi, kadang-kadang saya tak ada wang yang cukup untuk membayar balik pinjaman saya pada hujung bulan. Saya juga telah mengambil pinjaman lain daripada kooperasi kredit untuk membayar kos membaiki motosikal dan menampung beberapa perbelanjaan lain.


Bagaimana hutang saya boleh bertambah

Di tempat saya bekerja, setiap hari pasti ada ejen bank yang datang untuk menawarkan pinjaman kepada saya dan rakan-rakan sekerja saya. Ceritanya selalu sama sahaja: jumlah pinjaman yang besar, senang dapat kelulusan, tak banyak dokumen diperlukan. Memandangkan kami penjawat awam yang bekerja dengan kerajaan, jadi semua orang fikir yang pekerjaan kami akan sentiasa terjamin.Saya selalu menolak untuk membuat pinjaman kerana saya tiada keperluan untuk memakai duit. Tetapi sampai satu masa, ibu saya jatuh sakit dan memerlukan pembedahan jantung. Dia tiada insurans perubatan dan perlukan bantuan untuk membayar kos rawatannya sebanyak RM20,000. Jadi, akhirnya saya membuat keputusan untuk mengambil pinjaman daripada ejen bank yang selalu berlegar-legar di sekitar tempat kerja saya.

Pada mulanya, saya bercadang untuk mengambil pinjaman sebanyak RM30,000 untuk membayar kos pembedahan ibu saya dan menggunakan bakinya untuk membayar pinjaman koperasi saya yang sudah bertambah daripada RM5,000 kepada RM10,000. Dengan cara itu, saya akan ada hanya satu pinjaman untuk dibayar balik setiap bulan. Tetapi apabila saya berbincang dengan salah seorang ejen bank, menurut agen tersebut saya terpaksa mengambil satu pinjaman yang berjumlah sekurang-kurangnya RM134,000 untuk membayar balik semua pinjaman sedia ada dan saya masih akan ada baki sebanyak RM25,000 dalam tangan.

Saya tidak tertanya-tanya mengapa saya akan menerima wang yang sedikit berbanding jumlah pinjaman yang saya ambil. Pada waktu itu, saya lebih khuatir tentang sama ada pinjaman saya akan diluluskan memandangkan gaji saya cuma RM1,700 ketika itu. Jadi, apabila ejen bank menghubungi saya beberapa minggu kemudian untuk memaklumkan yang pinjaman saya telah diluluskan, saya hanya memikirkan bahawa saya akan mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos pembedahan ibu saya, perbelanjaan saya yang lain dan masih ada lagi baki yang boleh saya gunakan. Hanya di kemudian hari, apabila saya terpaksa membayar RM1,000 sebulan untuk pinjaman itu, saya sedar betapa susahnya untuk hidup dengan baki gaji RM700 sebulan.


Mengapa saya berhenti membuat bayaran balik pinjaman

Seminggu selepas saya mendapat pinjaman, saya mengambil cuti dan terbang balik ke Bintulu untuk membantu menjaga ibu saya. Saya berasa bangga kerana dapat membiayai kos pembedahannya. Tetapi malangnya ibu saya tidak kembali sihat, sebaliknya kesihatannya terus merosot. Selepas menjalani pembedahan, ibu saya mengalami strok dan tidak boleh berjalan lagi. Saya terpaksa mengambil cuti dengan kerap, hinggalah cuti tahunan saya habis digunakan. Memandangkan saya terpaksa terus berada di Bintulu untuk menjaga ibu saya, bos saya menasihatkan saya bahawa mungkin jalan yang terbaik ialah berhenti kerja. Apabila tiada pekerjaan, saya tidak lagi dapat membuat bayaran balik pinjaman. Dulu, apabila saya tidak mempunyai wang untuk membayar deposit sewa, membeli motosikal dan membiayai kos pembedahan ibu saya, saya ingatkan masalah saya ketika itu memang besar. Tetapi apabila saya berhenti membuat bayaran balik pinjaman, itu sebenarnya permulaan masalah saya yang sebenar….

Selepas meletakkan jawatan untuk pulang ke Bintulu dan menjaga ibu saya, saya cuma ada beberapa ribu ringgit yang berbaki daripada pinjaman sebanyak RM134,000 yang saya ambil. Itu sahaja wang yang saya ada untuk menyara kehidupan. Kebanyakan daripada wang pinjaman itu telah saya gunakan untuk membayar bil perubatan ibu saya dan melangsaikan beberapa hutang saya yang lain. Dalam masa beberapa bulan, wang yang tinggal itu sudah habis digunakan. Oleh sebab saya menjaga ibu sepanjang hari, saya cuma dapat mengambil upah membuat kerja-kerja rencam di kawasan perumahan saya untuk menjana sedikit pendapatan. Yang paling merisaukan, saya tidak dapat membayar balik pinjaman saya sejak saya berhenti kerja. Jadi saya bukan sahaja mengganggur dan kini berpendapatan kecil, saya juga ada banyak hutang yang saya tidak mampu bayar. Akhirnya ibu saya meninggal dunia 3 tahun selepas saya pulang ke Bintulu. Saya mengambil keputusan untuk berhijrah semula ke Kuala Lumpur dan cuba membina kembali hidup saya. Ketika itu saya mendapat tahu yang keadaan kewangan saya sudah betul-betul parah.


Adakah saya diisytiharkan muflis?

Setelah kembali semula ke Kuala Lumpur, saya rasa cuak yang mungkin saya sudah disenaraihitamkan setelah berhenti membayar balik pinjaman. Saya dapati akaun bank saya sudah dibekukan. Ada kawan yang telah meminjamkan wang kepada saya dengan mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun bank saya. Tetapi bila saya cuba nak keluarkan wang tersebut, saya tidak dapat berbuat begitu. Ketika itu barulah saya sedar bahawa masalah saya sudah menjadi lebih berat daripada yang disangka. Saya tertanya-tanya mungkin saya telah pun diisytiharkan muflis. Tetapi saya terlalu takut untuk menyemak dengan bank. Walaupun saya ada terfikir untuk mendapatkan semula pekerjaan saya sebagai Polis Bantuan, saya tidak jadi berbuat begitu gara-gara situasi kewangan saya. Saya takut kalau-kalau pihak berkuasa akan dapat mengesan saya dan saya tidak tahu apa yang akan mereka lakukan pada saya.Akhirnya saya mendapat tawaran kerja dengan sebuah syarikat keselamatan. Saya meminta mereka membayar gaji saya dengan wang tunai supaya saya tidak perlu berurusan dengan bank. Walaupun begitu, gaji saya cuma RM1,900 sebulan, cukup-cukup saja untuk menampung keperluan keluarga saya, jadi saya terus mengelak daripada melangsaikan hutang saya.

Saya meneruskan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan selama lebih daripada 10 tahun. Pada suatu hari, bos saya telah meminta maklumat bank akaun saya. Syarikat majikan ingin memasukkan sedikit wang saguhati ke dalam akaun bank semua pekerja. Saya memaklumkan yang saya tidak ada akaun bank disebabkan oleh masalah hutang saya.

Bos saya ada beritahu, memandangkan sudah bertahun-tahun masa berlalu, hutang saya tentu sudah bertambah berkali-kali ganda akibat faedah dan caj bayaran lewat yang dikenakan. Saya betul-betul panik. Saya ingatkan saya mungkin akan menjadi muflis, tapi saya tak sedar yang jumlah hutang saya akan terus bertambah dan bertambah!


Mendapatkan bantuan tentang masalah hutang

Bos saya menasihatkan saya untuk mendapatkan laporan kredit saya secara dalam talian dengan mendaftar dengan CTOS, iaitu agensi pelaporan kredit, untuk mengetahui berapa sebenarnya jumlah hutang saya dan mencari jalan untuk melangsaikannya. Menerusi CTOS, saya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa saya ada 5 pinjaman atas nama saya dan jumlah hutang saya sudah mencecah RM271,000. Dalam tempoh 13 tahun sejak saya membuat pinjaman, hutang saya sudah bertambah lebih daripada 140 kali ganda gaji bulanan saya! Walaupun saya belum lagi diisytiharkan muflis, salah sebuah bank yang telah meminjamkan wang kepada saya sudah pun memulakan proses kebankrapan terhadap saya.

Atas nasihat CTOS, langkah terbaik ialah untuk berbincang dengan setiap bank dan mencari jalan penyelesaian tentang hutang saya. Menurut CTOS, mungkin ada program pembayaran balik yang akan membuka jalan untuk saya menyelesaikan hutang dan menghentikan proses kebankrapan itu.Sekarang, bank yang telah meminjamkan saya RM134,000 sebelum ini telah menjual pinjaman itu kepada agensi pengutipan hutang. Selalunya apabila sesebuah bank tidak menerima bayaran balik untuk tempoh masa yang panjang, mereka akan menjual pinjaman tertentu kepada agensi pengutipan wang. Dengan cara ini, bank mendapat balik sebahagian daripada wang yang telah dipinjamkan, dan pengutip hutang pula akan mendapat wang apabila peminjam akhirnya cuba menyelesaikan hutang itu. Jadi, memandangkan pinjaman saya telah dijual, saya tidak boleh berurusan dengan pihak bank lagi dan terpaksa berbincang secara terus dengan pengutip hutang.

Pada masa ia dijual, nilai pinjaman saya sudah meningkat kepada RM221,000 berbanding nilai asal RM134,000. Dalam perjumpaan saya yang pertama dengan pengutip hutang, mereka menawarkan diskaun atas jumlah hutang saya, jadi hutang saya menyusut menjadi RM78,000. Tetapi memandangkan saya masih tidak dapat bayar balik wang sebanyak itu, saya terus cuba berunding dengan mereka. Akhirnya, kami bersetuju untuk menyelesaikan hutang itu pada nilai RM37,000. Sebelum ini, pengutip hutang itu telah menawarkan pelan bayaran bulanan sebanyak RM250 untuk jumlah pinjaman sebanyak RM50,000. Tapi, mujurlah saya mencapai persetujuan untuk membayar hutang tersebut secara sekali bayar (one-off) dan sebab itulah pengutip hutang bersetuju untuk menerima jumlah pembayaran yang lebih rendah. Tapi itu bukan penamat masalah hutang saya.

Saya ada mengambil 3 lagi pinjaman lain dengan 3 syarikat peminjam yang berbeza. Wang pinjaman tersebut telah saya gunakan untuk motosikal saya, membeli barang elektronik dan juga perabot. Baki yang tinggal untuk ketiga-tiga pinjaman ini agak kecil, jadi apabila saya berurusan secara terus dengan syarikat-syarikat tersebut, mereka bersetuju untuk mengurangkan sedikit jumlah faedah yang saya perlu bayar. Jadi, saya dapat langsaikan hutang-hutang tersebut sepenuhnya. Atas nasihat CTOS, saya memohon bantuan AKPK untuk satu lagi pinjaman peribadi berjumlah RM8,000 yang telah saya ambil daripada satu bank yang lain. Jumlah pinjaman tersebut telah bertambah menjadi RM15,000. AKPK menasihatkan saya untuk menyertai program pengurusan hutang mereka dan menstrukturkan semula pinjaman saya supaya saya mampu membuat bayaran balik bulanan dalam jumlah yang lebih kecil. Saya masih menunggu keputusan bank sama ada mereka bersetuju untuk mengurangkan jumlah pinjaman tersebut.

Selain itu, saya juga ada membuat pinjaman sebanyak RM1,600 daripada peminjam wang berlesen dan pinjaman itu telah berganda menjadi RM19,839 termasuk faedah. Tapi memandangkan AKPK hanya menguruskan pinjaman bank, saya perlu berurusan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menyelia hal-ehwal berkaitan dengan peminjam wang berlesen, termasuk membantu saya merundingkan semula pinjaman saya dengan peminjam wang berlesan yang berkenaan. Kami meneruskan perbincangan dengan peminjam wang berlesen itu dan akhirnya persetujuan dicapai untuk saya membayar RM9,900 untuk melangsaikan hutang tersebut.

Sudah 10 tahun lamanya saya hidup dalam kebimbangan, takut dijejak peminjam wang, dan selalu berasa tertekan memikirkan hutang yang tak mampu saya bayar. Akibatnya saya tak dapat mengambil pinjaman untuk membeli rumah malah langsung tidak memiliki akaun bank. Saya turut risau tentang kos pendidikan anak-anak kerana saya tahu saya tak akan dapat ambil pinjaman untuk tujuan itu. Tapi sekarang saya sudah langsaikan hutang-hutang tertentu dan saya ada rancangan untuk membayar balik hutang-hutang saya yang lain. Saya rasa jauh lebih lega sekarang. Saya dah dapat buka akaun bank, ini sangat memudahkan kerana kini saya boleh membuat transaksi pembayaran secara dalam talian. Akhirnya kini saya boleh teruskan kehidupan saya dengan lebih tenang.

How I Avoided Bankruptcy – Part 1

Sumber: www.multiply.org.my