URUS KEWANGAN KETIKA COVID-19

Tidak dapat dinafikan COVID-19 memberi kepada impak ekonomi yang bukan sedikit kepada kehidupan individu dalam masyarakat. Corak kehidupan masyarakat kita pada hari ini tidak akan sama berbanding sebelum ini. Dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, penting untuk kita sediakan diri secukupnya. Disebabkan itu juga, ramai yang terkesan sehingga ada yang dibuang kerja, gaji dipotong malah banyak perniagaan terpaksa gulung tikar disebabkan pandemik ini. Bagi mengatur kewangan, seseorang itu pada asasnya perlu memahami situasi kewangan mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi dalam situasi tidak menentu ketika ini. COVID-19 ini menuntut semua pihak termasuk individu untuk melakukan perubahan dalam cara hidup termasuklah dalam menguruskan kewangan. Semua individu dalam masyarakat samada yang bujang atau berkeluarga, sewajarnya menguruskan wang mereka dengan bijak dan berhemah. Ilmu pengurusan kewangan individu perlu diamalkan seperti menyediakan belanjawan rumah mengikut tahap keperluan. Beli perkara yang perlu sahaja mengikut kepentingannya.Perancangan kewangan isi rumah perlu diurus lebih berobjektif. Perkara utama perlu difahami ketua isi rumah ialah apa yang perlu dibelanjakan.


Bagi tujuan itu, beberapa perkara perlu dititikberatkan sebelum sesuatu perbelanjaan dilaksanakan, antaranya mengambil langkah seperti berikut:

1. Simpan wang kecemasan
2. Tetapkan penggunaan wang
3. Merekod dan menganalisa aliran duit yang keluar masuk setiap bulan.
4. Mengenal pasti pendapatan dan perbelanjaan yang tetap dan yang berubah
5. Manfaatkanlah apa-apa insentif yang diperoleh daripada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.
6. Sesuaikan cara hidup anda dengan normal baharu

Menyesuaikan gaya hidup dengan situasi kewangan sangat penting kerana ia boleh mengelak diri daripada terjebak dengan hutang. Amalan perancangan kewangan yang baik dalam kalangan isi rumah diharap mampu menstabilkan ekonomi keluarga serta dapat mengelakkan isi rumah dari berhadapan dengan masalah defisit kewangan.

Covid-19 banyak memberi pengajaran kepada kita, tentang pengurusan kewangan untuk masa hadapan agar dapat mengharungi waktu kritikal dengan baik. Ringkasnya berupaya membezakan antara kehendak dan keperluan. Amalan perbelanjaan baik harus dilaksanakan bagi memastikan sumber kewangan dibelanjakan tidak membazir begitu sahaja.