Apa itu skor kredit (credit score)?Skor kredit ialah skor dengan format tiga digit (antara 300 dan 850) khusus untuk setiap individu dan menunjukkan laporan kredit berdasarkan rekod pelangsaian pembayaran, bayaran bil, bilangan permohonan kredit serta jumlah pinjaman dipohon. Laporan ini juga memberi analisa mendalam mengenai semua hutang dan tabiat pembayaran balik anda.
Dari sana, anda boleh menilai tabiat pembayaran balik pinjaman anda sendiri, dan juga menyemak jika anda terlepas apa-apa bayaran penting yang akan memberi kesan dan menjejas skor anda. Laporan anda juga akan memberitahu anda jika terdapat sebarang tuntutan undang-undang aktif yang diambil terhadap anda. Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang dipertimbangkan oleh pihak bank ataupun institusi kewangan apabila anda memohon pinjaman? Bagaimanakah institusi kewangan akan tahu jika anda layak mendapat bantuan untuk membeli kereta baru atau apa yang membantu bank membuat keputusan untuk memberi pinjaman kepada anda?
Maksud skor kredit adalah seperti berikut:
744-850 : Cemerlang
718-743 : Sangat Baik
697-717 : Baik
651-696: Sederhana
529-650: Rendah
300-528: Lemah
Skor kredit anda menunjukkan sama ada anda mempunyai rekod kewangan yang stabil dan atau sebaliknya.Walaupun skor pemarkahan kredit ini sangat memainkan peranan dalam permohonan pinjaman, masih ramai yang tidak ambil kisah atau tak nak ambil tahu tentang skor kredit. Jika permohonan anda ditolak, anda biasanya tidak akan tahu apa sebenarnya masalah dengan kredibiliti anda sebagai peminjam. Sejarah kredit anda disimpan oleh pangkalan data dimiliki Bank Negara Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Dari sini, agensi pelaporan kredit seperti Experian Information Services Sdn Bhd, CTOS, dan Biro Kredit Malaysia dibenarkan mengakses maklumat skor kredit anda.
Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi skor kredit adalah:
· Jumlah hutang keseluruhan
· Jenis-jenis akaun & gabungan kredit
· Rekod pelangsaian pembayaran & jumlah pembayaran lewat
· Tempoh pembukaan akaun & laporan kredit
· Permohonan & penolakan kredit baharu
· Rekod prestasi undang-undang.
Walau bagaimanapun jika anda menguruskan kewangan anda dengan konsisten, ia akan meningkatkan skor kredit anda pada jangka masa panjang kerana ia membuktikan anda dapat mengendalikan kewangan anda dengan baik. Jangan risau anda masih ada harapan untuk memperbaiki skor kredit anda. Semakin lama anda membayar hutang anda tepat pada waktunya, anda akan cenderung mempunyai skor yang lebih baik.