SIMPANAN DI WAKTU KECEMASAN

Situasi kecemasan boleh datang pada bila-bila masa sahaja tanpa diduga.Bil hospital, kereta rosak, tidak boleh bayar sewa dan lain-lain lagi yang mana perkara ini tidak dijangka akan berlaku dan kemungkinan akan berlaku dan ianya boleh berlaku pada siapa-siapa saja. Situasi seperti ini boleh menyebabkan seseorang tertekan dengan kehidupan.Bila perkara tak dijangka berlaku dan gaji atau simpanan tidak mencukupi, bagaimana untuk mencari wang dengan segera?

Kecemasan boleh berlaku kepada siapa saja, pada bila-bila masa. Katakan satu hari, kita terpaksa gunakan RM10,000 untuk satu kecemasan yang tak disangka, dan kita langsung tiada dana kecemasan untuk kita gunakan? Sebagaimana kata-kata ‘langit tidak selalunya cerah’, begitu juga dengan kehidupan. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, mungkin nikmat kesihatan ditarik atau mungkin dibuang kerja. Jadi, yang terbaik kita boleh buat adalah memastikan kita cukup bersedia untuk hadapi saat-saat getir ini.

Ini adalah antara tips di waktu kecemasan:

· Guna kad kredit
Kad kredit paling berguna di saat-saat memerlukan. Anda boleh gunakan kad kredit untuk bayar bil tak dijangka (ada bank yang membenarkan bayaran ansuran untuk selesaikan bil) atau bantu anda untuk bayar komitmen bulanan buat sementara waktu.

· Keluarkan duit dari Akaun 2 KWSP
Simpanan Akaun 2 KWSP boleh dikeluarkan untuk kecemasan perubatan terpilih atau bila anda perlukan dana untuk komitment gadai janji bulanan.

· Tambah dana dengan kerja sampingan
Ikhtiar untuk tambahkan semula dana dengan kerja sampingan yang tidak mengambil terlalu banyak masa anda.

· Mohon pinjaman peribadi
Pinjaman peribadi boleh dipertimbangkan jika anda mahukan jumlah wang tunai tertentu. Tetapi, pinjaman peribadi perlukan komitmen bulanan. Pastikan anda semak dan buat tinjauan pinjaman mana yang paling sesuai.

· Jika Dapat Duit Bonus, Simpan Dulu
Ramai yang buat silap dengan membelanjakan sampai habis bila dapat duit bonus. Ingat masa depan sebelum buat keputusan salah. Duit bonus jika anda simpan di ASB, ia akan berkembang dan duit itu lah yang anda patut belanjakan.

Harus diingat bahawa simpanan kecemasan mesti dalam bentuk tunai kerana sekiranya berlaku perkara yang di luar jangkaan seseorang boleh terus menggunakan wang berkenaan berbanding simpanan atau aset lain yang mempunyai nilai kecairan yang lebih rendah.Sebagai kesimpulan, tempoh PKP ini adalah masa yang sangat sesuai dan praktikal untuk semua rakyat mengamalkan cara gaya hidup bersederhana, berjimat dan berhemah.

Dana kecemasan adalah penting untuk kestabilan kewangan dan sebagai perlindungan untuk masa hadapan anda dan orang tersayang.Semoga semua rakyat Malaysia dapat melalui fasa yang penuh dengan cabaran dari segi fizikal, emosi, rohani, jasmani termasuk ekonomi dengan penuh kesabaran, keinsafan dan kesederhanaan.Muhasabah diri dan sediakan satu tabung kecemasan untuk diri sendiri dan keluarga bagi yang sudah berkeluarga. Mempunyai tabung kecemasan merupakan sesuatu yang wajib untuk semua orang sebenarnya.Tidak ada manusia yang merancang untuk jatuh didalam kecemasan, tetapi ianya pasti berlaku.