REKOD KEWANGAN KHAS PINJAMAN – CCRIS

Dalam menguruskan kewangan, salah satu perkara yang kena jaga adalah rekod CCRIS dan CTOS. CCRIS adalah sebuah platform yang menyimpan segala jenis rekod permohonan dan mempamerkan gambaran penuh kesihatan kewangan seseorang individu.Laporan CCRIS ni sangat penting untuk menentukan permohonan pinjaman anda diluluskan atau ditolak. Pada setiap bulan, institusi yang berkenaan seperti bank, broker insuran, dan syarikat utiliti akan mengemaskini maklumat kepada Bank Negara Malaysia, dan semua maklumat ini akan dikumpul dalam bentuk laporan CCRIS yang standard.

Apa Yang Terkandung Dalam Laporan CCRIS? Laporan CCRIS menyediakan info yang berkaitan dengan kredit peminjam. Info tersebut terbahagi kepada tiga bahagian penting:

1. Kredit Yang Tertunggak-Ringkasan semua kredit dan pinjaman yang tertunggak. Ini ialah hutang yang belum habis bayar termasuk yang dipinjam secara individu, pinjaman bersama, dan pinjaman perniagaan atau komersial.

2. Akaun Pemerhatian Khusus (Special Attention Accounts) – Berkait dengan pinjaman tertunggak yang bank dah letakkan di bawah pemantauan khas.Pinjaman itu dipantau rapat oleh pihak berkuasa kewangan untuk dapatkan balik pembayaran pinjaman.

3. Permohonan Kredit -Sebarang permohonan kredit yang tengah dalam proses, atau yang dah diluluskan dalam 12 bulan lepas.

Namun begitu, laporan CCRIS tidak hanya memaparkan maklumat kredit peminjam yang negatif semata-mata. Laporan ini turut menunjukkan maklumat positif seperti kelulusan kredit dan sejarah pembayaran balik yang mengikut jadual. Ramai peminjam yang beranggapan bahawa CCRIS akan menyenarai hitam peminjam sekiranya peminjam mempunyai corak pembayaran yang buruk. Ini merupakan suatu tanggapan atau persepsi yang salah kerana CCRIS hanya menyediakan data yang akan digunakan oleh institusi kewangan, tidak memberikan sebarang pendapat atau menyenarai hitam mana-mana individu.

Untuk pengetahuan anda,laporan CCRIS tidak mempamerkan skor atau penilaian kredit langsung.Laporan CCRIS memberikan rekod kredit yang komprehensif dan maklumat berkaitan sebenar, supaya bank dan institusi kewangan dapat membuat penilaian berdasarkan keadaan individu tersebut.Setiap bank dan institusi kewangan menilai permohonan pinjaman secara berbeza, tetapi secara umum, apa yang paling ingin mereka lihat ialah pembayaran tepat pada waktunya dan Nisbah Perkhidmatan Hutang (DSR) adalah pada tahap yang baik.Selain itu, cara lain yang paling selamat adalah untuk mengekalkan rekod CCRIS yang baik adalah anda perlu sentiasa konsisten dan berdisiplin dalam membuat bayaran balik pinjaman.

Bagaimana Anda Boleh Memohon Laporan CCRIS? Anda boleh dapatkan laporan CCRIS melalui beberapa saluran – ada yang percuma dan ada yang berbayar seperti berikut:

Kiosk Bank Negara Malaysia
Anda boleh dapatkan laporan CCRIS daripada Kiosk yang terdapat di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia. Laporan ini adalah percuma. Anda cuma perlu walk-in dan bawa kad pengenalan (MyKad) atau hubungi 1300 88 5465 (BNMTELELINK)

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Selain Bank Negara Malaysia, anda boleh dapatkan laporan CCRIS di mana-mana cawangan AKPK, juga percuma. Cuma seperti juga Bank Negara Malaysia, anda perlu walk-in dan buat pengesahan diri – kad pengenalan (MyKad).

eCCRIS Bank Negara Malaysia
Jika anda dah berdaftar dengan Bank Negara atau AKPK, anda boleh dapatkan laporan CCRIS anda dari Bank Negara melalui sistem eCCRIS: https://eccris.bnm.gov.my

Agensi pelaporan kredit.
Agensi-agensi ini merupakan agensi yang telah dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 dan telah mendapat kebenaran untuk mengakses maklumat daripada pangkalan data CCRIS.
· Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd (https://www.creditbureau.com.my/)
· Experian Information Services (Malaysia) Sdn bhd (https://www.mycreditinfo.com.my/)
· CTOS Data System Sdn Bhd (https://ctoscredit.com.my/)