OPR NAIK LAGI

Ketika negara berhadapan inflasi dengan kenaikan harga pelbagai barang keperluan, kenaikan OPR sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat. Namun, penting untuk kita faham terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan OPR. Dengan memahami maksud dan mekanisme OPR  baru penilaian yang lebih adil dan rasional dapat dilakukan, sama ada kenaikannya akan memberi kesan kepada kewangan kita atau tidak.

OPR atau Kadar Dasar Semalaman merujuk pada kadar faedah semalaman yang ditetapkan oleh bank pusat atau Bank Negara Malaysia (BNM). Ia merupakan kadar faedah yang perlu dibayar oleh sesebuah institusi kewangan yang meminjam daripada bank yang lain. Dalam operasi harian, rizab wang tunai bank berubah-ubah, bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank, serta deposit dan pengeluaran wang yang dibuat pelanggannya.

Kadar Dasar Semalaman Malaysia dikekalkan pada paras terendah dalam sejarah pada 1.75% selama hampir 2 tahun (Julai 2020-Mei 2022) sejak ia dikurangkan daripada 3.0% pada 2020 akibat wabak Covid-19 yang melanda negara Malaysia. 1.75% adalah OPR terendah dalam rekod negara Malaysia, menurut data BNM yang bermula sejak 2004 di laman webnya.Keputusan Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar faedah pinjaman  bertujuan untuk memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan yang boleh menambah tekanan inflasi.

Pengurangan OPR pada ketika itu perlu untuk merancakkan ekonomi yang sebahagian besarnya ditutup akibat PKP. Apabila OPR diturunkan, kos pinjaman pun akan berkurang. Ini akan memberikan lebih tunai di tangan rakyat untuk berbelanja dan membolehkan lebih ramai pengguna membuat pinjaman, termasuk syarikat-syarikat kecil yang terpaksa menanggung kerugian apabila ekonomi ditutup. Dengan cara ini, ekonomi negara boleh terus bergerak walaupun perlahan disebabkan pandemik.

Perubahan OPR akan memberi kesan kepada kadar faedah pinjaman yang kita ambil. Ini termasuk pinjaman perumahan dan peribadi. Lebih tinggi OPR, lebih tinggi bayaran bulanan yang perlu dibayar. Namun, nilainya tidaklah terlalu besar memandangkan perubahan OPR kebiasaannya dalam nilai asas yang minimum. Apa-apa pun, rujuklah bank apabila berlaku perubahan dalam OPR untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.Anda dinasihatkan untuk mengawal perbelanjaan dan mengurus kewangan bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini yang disifatkan sementara sebelum keadaan ekonomi kembali stabil.