MORATORIUM ANDA PASTI?

Tidak dinafikan kesan penutupan dan sekatan ekonomi disebabkan penularan wabak Covid-19 dirasai secara tidak seimbang oleh semua lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang berada di bahagian bawah pengagihan pendapatan. COVID-19 ini bukan sahaja menyebabkan kesusahan luar jangka, tapi banyak juga rancangan tergendala. Ramai yang nak kahwin, terpaksa tangguh. Ramai yang hilang kerja dan kena cari kerja baru. Ramai juga yang duit simpanan mula nak habis.Mungkin anda antara orang yang terpaksa tangguhkan banyak rancangan sebab musim susah ini tak boleh guna duit untuk tujuan yang dirasakan tak berapa penting.

Penangguhan ansuran bank atau dikenali dengan nama pemberian moratorium adalah penanggihan secara rasmi bayaran ansuran bulanan daripada peminjam atau pembayar kepada pihak bank tanpa sebarang denda atau caj penalti.Dengan kata mudah pelanggan tidak perlu membayar ansuran yang dibuat bersama bank tersebut mengikut jumlah bulan yang ditetapkan dalam tawaran moratorium yang diumumkan.Bayaran ansuran akan bersambung semula setelah moratorium tamat.

Permohonan untuk mendapatkan moratorium selama enam bulan telah mula dibuka namun ramai yang berasa berbelah bahagi untuk memohon kemudahan bayaran balik pinjaman itu. Di media sosial, ramai juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat di samping mahu mengumpul maklumat serta memahaminya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai perkara tersebut. Bukan semua peminjam mampu membuat membayar balik ansuran bayaran pinjaman seperti sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain itu, ada juga yang mengambil sikap berkecuali dan menasihati peminjam lain supaya membuat keputusan berdasarkan situasi yang dihadapi mereka. Dalam pada itu, kebanyakan peminjam yang menyifatkan moratorium sebagai jalan keluar terakhir kepada masalah tekanan kewangan yang dihadapi. Fokus utama pemberian moratorium ini adalah untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini dalam kesusahan akibat COVID-19 dalam menguruskan aliran tunai.

Jika peminjam rasa terhimpit dan terjerat dengan situasi semasa, sektor perbankan wajib memberikan sokongan sewajarnya agar budaya kredit kita sihat di setiap peringkat.Tetapi, jika peminjam berasa mampu untuk teruskan pembayaran pinjaman walaupun pada kadar yang sedikit, ini mestilah dialu-alukan supaya sektor perbankan negara tidak tersekat untuk memberikan pinjaman kepada peminjam yang layak pada masa depan.

Moratorium pinjaman terbaru diperkenalkan selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan permohonan dengan kelulusan automatik Jadi jika anda peminjam individu tanpa mengira anda B40, M40 atau T20, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang terjejas kerana COVID-19, anda boleh memohon moratorium pinjaman selama enam bulan.Anda hanya perlu memohon dengan bank masing-masing dan kelulusan permohonan diberikan secara automatik.

Apa Syarat Moratorium PEMULIH?

  1. Permohonan Moratorium PEMULIH hanya untuk pinjaman yang diluluskan SEBELUM 1 Julai 2021.
  2. Anda tidak memberi sebarang dokumen dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
  3. Pada masa permohonan moratorium PEMULIH dibuat, anda tidak boleh ada bayaran ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau prosiding muflis / penggulungan syarikat
  4. Peminjam yang sudah mempunyai moratorium sebelum ini dan mengikut semua jadual pembayaran semula pinjaman juga boleh memohon moratorium PEMULIH.
  5. Peminjam individu/PKS yang mempunyai tunggakan bayaran lebih 90 hari dinasihati menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat kewangan secara percuma.
  6. Hutang kad kredit tidak boleh memohon moratorium PEMULIH, tetapi anda boleh memohon untuk mengubah hutang kad kredit ini menjadi pinjaman 3 tahun yang membantu anda mengurangkan kadar faedah.

Penerimaan moratorium ini juga tidak akan menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam, seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia. Peminjam bagaimanapun perlu faham dan sedar tentang syarat pinjaman yang akan dipinda jika menerima moratorium ini seperti kadar faedah baru, tempoh pinjaman lebih panjang dan sebagainya.

Anda hanya perlu hubungi pihak bank masing-masing dan jangan lupa baca semua syarat yang dikenakan, supaya tidak terkejut nanti! Maka, jadilah pengguna bijak, bukan pengguna terpijak.