MENTAL DAN FIZIKAL PETUGAS BARISAN HADAPAN

Ketika orang lain santai di rumah,bergembira bersama keluarga, atau pun bertugas dari rumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan petugas ini bagaikan berada di ‘medan perang. Mereka terpaksa melawan ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain.Berisiko untuk dijangkiti virus maut ini namun semangat mereka tetap kental untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit Covid-19.

Sebilangan besar petugas barisan hadapan menghadapi gejala tekanan melampau atau ‘burnout’ berikutan perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.Kini, masalah COVID-19 begitu kritikal dan petugas barisan hadapan paling banyak berurusan dengan orang ramai semasa pandemik dan ternyata COVID-19 memberi kesan kepada masalah kesihatan mental seperti stres, selain kebimbangan dan kemurungan.

Situasi ini telah mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.Faktor kekurangan sokongan dan ketakutan berhadapan kematian dan morbiditi adalah penyumbang masalah kesihatan mental petugas barisan hadapan.Status kelompok ini yang turut terbabit secara langsung dengan diagnosis, rawatan dan penjagaan pesakit juga menjadi faktor penyumbang masalah psikologikal mereka.

Antara faktor yang mencetus situasi burnout dalam kalangan petugas kesihatan adalah:

  • bebanan tugas yang tinggi
  • ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang
  • pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai
  • rancangan kerjaya terganggu
  • Kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

Justeru, melindungi pekerja petugas barisan hadapan dengan menyediakan sokongan sosial, emosi dan keagamaan satu keutamaan di mana ia boleh meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Mereka perlu mendapat pembelaan dari sudut penjagaan keselamatan diri.

Petugas barisan hadapan disarankan untuk mengambil langkah penjagaan kendiri bagi mengelakkan burnout seterusnya mewujudkan budaya kerja yang sihat dan ceria seperti berikut:

  • Bekerja secara efektif sebagai sebuah pasukan bagi meringankan beban tugas
  • Sentiasa melakukan penilaian kendiri bagi mengesan tanda-tanda awal burnout
  • Sedia berkongsi dan mendengar pandangan serta nasihat sekiranya mempunyai masalah
  • Dapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang seimbang.

Kesihatan fizikal dan mental petugas barisan hadapan perlu diberi perhatian. Banyak kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka selari pengorbanan besar dicurahkan ketika COVID-19. Mereka juga perlu memastikan kesihatan emosi dipelihara dengan mendapat sokongan sosial di samping menerima perkhidmatan kesihatan mental sewajarnya.

Sebagai menghargai kerja keras dan tanpa henti petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan menangani penularan COVID-19, sama-samalah kita menjalankan peranan masing-masing. Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya. Terima kasih Frontliners (petugas barisan hadapan). Anda adalah wira negara dan kami sangat berbangga dengan anda semua!