MELABUR EMAS

Pelaburan emas nampaknya menjadi semakin popular dan pelaburan emas ditawarkan bagi tujuan mendapatkan pulangan nilai yang besar.Secara umumnya, terdapat dua jenis pelaburan emas iaitu pelaburan emas fizikal (membeli emas fizikal) dan pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas di institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan ini. Pelaburan emas secara fizikal boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas. Pakar pelaburan menasihatkan agar pelabur membeli emas fizikal dalam bentuk syiling emas dan jongkong emas kerana kelebihannya tersendiri iaitu mudah dibawa, mempunyai saiz, bentuk dan berat yang standard, mudah ditunaikan dan mempunyai perbezaan harga belian dan jualan yang rendah berbanding barang kemas.

Barang kemas dikatakan bukanlah pelaburan yang baik kerana harganya lebih mahal disebabkan oleh kos upah membuat barang kemas tersebut dan ia mempunyai susut nilai yang agak tinggi iaitu sekitar 25-40%.Sekiranya betul-betul ingin melabur emas, pelabur dinasihatkan untuk mempunyai ilmu pengetahuan asas. Hadiri seminar atau kursus berkaitan pelaburan, beli buku atau bahan bacaan berkaitan pelaburan yang kini banyak terdapat di pasaran dan yang paling mudah adalah pelabur boleh dapatkan maklumat daripada internet.

Selain itu, pelabur boleh dapatkan nasihat dan panduan daripada rakan yang mempunyai pengalaman melabur serta dapatkan khidmat runding daripada pakar atau penasiht kewangan bertauliah. Pelabur diingatkan supaya lebih berhati-hati dan meneliti risiko yang dikaitkan dengan pelaburan emas sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh jangka pendek.

Kesimpulannya, pelaburan emas secara fizikal adalah pelaburan yang paling selamat, mudah dan patuh garis panduan syariah. Lebih-lebih lagi, kita semua tahu bahawa dalam jangka masa panjang, nilai emas akan meningkat. Oleh itu, jika anda merancang untuk mengembangkan dan menambah simpanan anda dalam jangka masa panjang, pelaburan emas adalah pilihan yang paling tepat dan terbaik. Janganlah sewenang-wenangnya terlibat dalam pelaburan emas tanpa ilmu yang mencukupi atau dengan hanya mengikut kata-kata atau pujukan orang lain.