MELABUR DUIT GAJI DENGAN SEBAIKNYA

Ramai yang susah untuk menyimpan duit selepas mendapat gaji. Pengurusan kewangan memang langsung tidak tahu dan sentiasa bersikap boros. Sikap seperti ini amat dikhuatiri kerana wang yang anda dapat hasil dari pekerjaan seharusnya disimpan untuk masa hadapan. Bukannya berbelanja tak ingat dunia.Setiap bulan apabila mendapat gaji, apakah perkara pertama yang anda lakukan? Pernahkah anda terfikir untuk melabur dahulu, dan kemudiannya membayar bil dan hutang yang perlu dilangsaikan.

Oleh kerana kebiasaannya gaji dimasukkan ke dalam akaun simpanan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah melabur sebelum berbelanja atau membayar hutang. Bagi kebanyakan kita, jawapannya berkemungkinan besar adalah tidak. Ini kerana ramai antara kita mengamalkan pengurusan kewangan yang meletakkan keperluan melabur di tempat terakhir.

Dengan pendapatan yang tidak begitu besar, bebanan hutang yang keterlaluan akan menyebabkan kita berada dalam keadaan tidak keruan dan sukar mengurus masa depan.

Antara kaedah terbaik ialah melabur secara automatik setiap bulan, menerusi kemudahan potongan gaji atau pelaburan secara dalam talian setiap kali mendapat gaji supaya anda tidak terlepas membuat pelaburan bulanan. Lihat kepada pendapatan anda dan nilai kemampuan anda untuk melabur.

Paling penting, jangan membuat peruntukan yang terlalu besar hingga menjejaskan keupayaan anda untuk membayar bil, hutang atau membiayai kehidupan seharian. Jika anda perlu mengeluarkan semula pelaburan kerana tidak mempunyai wang yang cukup sehingga gaji seterusnya, ia akan hanya menjejas matlamat anda untuk membina tabungan.

Antara institusi pelaburan yang menawarkan kemudahan potongan gaji menerusi majikan ialah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera. Paling menarik, kemudahan adalah percuma. Justeru jika majikan anda belum berdaftar dengan ASNB untuk kemudahan ini, anda boleh meminta majikan anda berbuat demikian supaya anda juga boleh menikmati kelebihan kemudahan potongan gaji ini. Kaedah potongan gaji ini sangat berkesan kerana wang berkenaan tidak akan sampai ke tangan anda untuk dibelanjakan, sebaliknya dimasukkan terus ke dalam akaun pelaburan anda.

Dengan melabur secara automatik, anda dapat mengelak daripada menangguhkan pelaburan anda dan mengambil sikap melabur bila ada lebihan. Secara tidak sedar, anda akan mempunyai tabungan sebagai sandaran. Tidak kisahlah apa matlamat anda, sama ada untuk persaraan, kecemasan atau mungkin juga pendidikan anak-anak, anda tidak perlu lagi berhutang apabila memerlukan kelak.

Melaburlah sementara anda sihat dan mampu dan sebaiknya apabila anda mula bekerja. Lebih lama anda melabur secara konsisten, lebih besarlah jumlah tabungan anda.Pelaburan yang konsisten akan membantu anda mengumpul modal dengan pantas untuk mengumpul pulangan yang lebih besar.Bagaimanapun, wang yang dibiarkan dalam akaun simpanan jangan pula dihabiskan, sebaiknya simpan sedikit untuk hal-hal kecil yang memerlukan wang segera.

Akhir sekali, tabiat perbelanjaan anda akan bertambah baik jika anda mula melabur pada usia muda. Melabur lebih awal membolehkan anda memupuk tabiat perbelanjaan yang berdisiplin dengan menumpukan pada anggaran dan mengurangkan perbelanjaan apabila diperlukan. Dengan mempunyai matlamat serta tindakan yang jelas dan pemahaman menyeluruh tentang apa yang anda gunakan untuk wang, anda akan mudah membahagikan gaji anda.