KOS SARA HIDUP

Dalam usaha kerajaan Malaysia membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar. Kos sara hidup termasuklah jumlah pendapatan yang diperolehi dan perbelanjaan seharian yang boleh dikatakan cukup makan, atau ada segelintir masyarakat yang ikat perut atau bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Secara umumnya, peningkatan kos sara hidup berlaku kerana peningkatan pendapatan individu untuk suatu jangka masa tidak dapat menampung peningkatan harga barangan atau perkhidmatan yang sama untuk jangkamasa terbabit. Jika keadaan demikian berlaku, seseorang individu terpaksa meningkatkan perbelanjaan rutinnya tanpa merubah corak perbelanjaan.

Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkataan yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Kos sara hidup adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tetapi juga keperluan-keperluan lain untuk keselesaan hidup termasuk kos pendidikan, kos sambungan jalur lebar dan kos kenderaan untuk kegunaan harian.

Peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menghimpit masyarakat pada hari ini. Majoriti pendapatan digunakan untuk bayaran ansuran seperti perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan ke atas barangan lain. Kenaikan kos sara hidup terjadi setiap tahun walaupun terdapat banyak rungutan dan rintihan daripada rakyat tentang kenaikan harga barangan pengguna. Isu kenaikan kos sara hidup ini menjadi perbualan hangat rakyat di mana-mana.

Pastinya ramai yang mengeluh disebabkan peningkatan kos sara hidup pada masa kini. Namun, tidak ramai yang dapat menghadapi atau mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup. Sebenarnya ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menghadapi situasi ini:

1. Beli Barang Sewaktu Jualan Murah

Membuat pembelian sewaktu jualan murah atau jualan gudang sebenarnya mampu membantu anda untuk berjimat kerana ketika ini pastinya pihak penjual akan membuat promosi dengan harga diskaun yang sangat berpatutan berbanding harga asal.

2. Buat Perbandingan Harga Sebelum Berbelanja

Sebelum berbelanja, buat perbandingan harga dahulu. Di zaman teknologi serba canggih ini, membuat perbandingan harga menjadi lebih mudah. Buat perbandingan harga barang dengan membandingkan harganya di beberapa pasar raya besar sebelum membeli. Dengan cara ini, anda dapat berjimat dan mengurangkan kos berbelanja barangan keperluan asas di rumah.

3. Gunakan Kad Kredit Dengan Bijak

Penggunaan kad kredit sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Ianya sebenarnya bergantung kepada cara masing-masing menggunakannya. ada juga kad kredit yang menawarkan mata ganjaran apabila anda berbelanja. Apabila mata ganjaran yang dikumpul sudah mencukupi, anda boleh menebus mata ganjaran dengan mendapatkan pelbagai jenis hadiah yang ditawarkan oleh pengeluar kad

4. Bijak Merancang Perbelanjaan

Membuat perbandingan harga sebelum berbelanja, perlu jimatkan penggunaan elektrik di rumah, memasak sendiri di rumah daripada makan di luar, mengurangkan aktiviti menggunakan kenderaan dan menimbangkan keputusan memiliki atau menukar kereta untuk menambah hutang. Selain itu, perlu membuang tabiat buruk sepertikerap menukar telefon bimbit baru, bercuti di luar negara, mengelakkan pinjaman bank yang bertujuan untuk menambah aksesori kenderaan atau menaik taraf rumah.

Semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani peningkatan kos sara hidup agar rakyat tidak terus terbeban. Sebagai individu, seharusnya perancangan yang teliti perlu dibuat sebelum berbelanja dan hanya berbelanja bagi barangan yang diperlukan dan tidak perlu membazir.Tidak dapat dinafikan apabila kerajaan mengurangkan perbelanjaan terhadap perkhidmatan dan barangan maka memberi kesan kepada pendapatan isi rumah, kenaikan cukai akan membebankan masyarakat dan mampu memberi kesan kepada psikologi, ekonomi dan sosial individu.