
Kit ujian kendiri adalah untuk membantu orang awam menjalankan saringan secara sendiri dengan cepat dan mudah sebelum mengambil tindakan yang seterusnya, sekaligus mengurangkan beban petugas kesihatan.Kit ujian kendiri dapat merendahkan risiko jangkitan kerana anda tidak perlu hadir secara bersemuka di pejabat atau pusat kesihatan yang mana risiko jangkitannya tinggi.Antara kebaikan utama kit ujian air liur adalah saringan boleh dikendalikan di mana jua secara mudah. Ini membolehkan kita untuk mengenalpasti and mengawal risiko jangkitan Covid-19 dengan kadar yang lebih efektif.
Kit Ujian Kendiri Covid-19 boleh digunakan untuk :
- Saringan kendiri oleh mana-mana individu yang ingin mengetahui status Covid-19
- Individu yang mempunyai kontak dengan kes Covid-19
- Saringan-saringan lain yang bersesuaian (seperti Pintu Masuk Antarabangsa, rentas negeri, saringan pra-pekerjaan, pra-kemasukan ke institusi tinggi dan lain-lain
Dalam situasi yang cukup membimbangkan ini, sudah semestinya kit ujian kendiri ini dapat memberikan manfaat kepada semua supaya dapat menguji dan mengawal kesihatan diri sendiri di rumah.Realitinya, kit ujian kendiri saringan COVID-19 boleh dijadikan inisiatif awal untuk lapisan pertama pertahanan diri di kala berjuang menentang virus ini.Jika tidak sihat atau mempunyai gejala, kit ini akan menyediakan solusi terbaik tanpa perlu terus keluar ke klinik sambil membahayakan orang di luar.Bagaimanapun, mereka yang membuat ujian kendiri ini perlu memasukkan segera hasil keputusan diterima menerusi aplikasi MySejahtera sama ada negatif, positif atau status invalid. Kit Ujian Kendiri COVID-19 digunakan sebagai ujian saringan yang dilakukan sendiri oleh individu.
Tindakan susulan adalah sangat penting selepas mendapat keputusan. Semua keputusan ujian yang didapati perlulah dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera.
i) Sekiranya POSITIF
Sekiranya kit ujian memberikan keputusan Positif, anda perlulah ke pusat fasiliti Covid-19 Assesment Centre (CAC), Klinik Kesihatan, atau Klinik Swasta berhampiran untuk tindakan selanjutnya. Bawa bersama keputusan ujian kit ujian kendiri sebagai bukti.
ii) Sekiranya NEGATIF
Sekiranya anda Negatif tetapi bergejala, anda perlu ke Klinik Kesihatan atau Klinik Swasta untuk penilaian kesihatan.
Sekiranya anda Negatif tanpa gejala dan merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19, anda perlu jalani tempoh kuarantin wajib selama 10 hari.
iii) Keputusan Tidak Diperolehi
Jika ujian anda Invalid atau tidak menunjukkan keputusan, anda perlulah ulangi ujian.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah.Justeru, KKM ingin menyeru semua pihak supaya berganding bahu bersama Kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 melalui pendekatan whole-of-government, whole-of-society agar kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan COVID-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat tersebut.