KELEBIHAN MENDERMA DARAH

Setiap hari terdapat ribuan orang yang memerlukan darah dan sebab itu kita digalakkan untuk menderma darah yang boleh menyelamatkan nyawa banyak orang.Ia bukan sahaja perbuatan yang mulia, tetapi tahukah anda terdapat pelbagai manfaat menderma darah untuk kesihatan penderma.Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial. sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

Setiap tahun,14 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bagi menggalakkan masyarakat menderma darah untuk menyelamatkan mereka yang memerlukan.Terdapat banyak kegunaan darah antaranya menyelamatkan nyawa semasa pembedahan, mangsa kemalangan, merawat pesakit leukemia, barah, pesakit jantung, penyakit hati, hemophilia dan lain-lain.

Walaupun program dan kempen derma darah sentiasa dilakukan setiap bulan di serata lokasi dan tempat di Malaysia ini. Tetapi bekalan darah masih lagi tidak mencukupi.Dengan menderma darah, anda mungkin mampu menyelamatkan nyawa seseorang kerana hospital sentiasa kekurangan darah dan disebabkan itulah pentingnya buat kita semua, sekiranya layak dan dibenarkan untuk menderma darah, patut menderma darah setiap 3 bulan.

Berikut adalah sebab-sebab mengapa anda digalakkan menderma darah:

Menjaga kesihatan si penderma
Darah yang diderma akan ditapis terlebih dahulu untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang jangkitan virus dan sebelum menderma darah, petugas perubatan di pusat derma darah akan memberikan anda pemeriksaan kesihatan secara ringkas.

Mengurangkan risiko sakit jantung
Penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia.Walau bagaimanapun, dengan menderma darah, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan penyakit jantung. Apabila anda menderma darah, anda mengeluarkan zat besi daripada tubuh anda serta mengekalkan kecairan darah yang sesuai untuk kesihatan arteri anda.

Dapat mengurangkan kalori di dalam badan
Kajian mendapati menderma darah dapat membakar 650 kalori dalam badan seseorang dalam satu sesi; membantu penderma mengurangkan berat badan, kekal sihat dan ramping, serta mencegah obesiti.

Rasa lebih sihat
Ramai penderma darah memberitahu, setiap kali selepas menderma darah, mereka akan berasa lebih sihat dan bertenaga yang membuatkan mereka kembali menderma darah.

Pihak majikan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta juga boleh memasukkan menderma darah sebagai antara aktiviti yang diiktiraf sebagai sumbangan kepada masyarakat.Dengan menderma darah, kita dapat menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan budaya. Segala usaha dan matlamat untuk membekalkan darah yang secukupnya untuk kegunaan pesakit tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada seluruh anggota masyarakat.