JANGAN TERPEDAYA JANJI MANIS SCAMMER

Hampir saban hari, kita pasti terbaca dalam surat khabar atau di media sosial dan terdengar cerita ada sahaja orang yang menjadi mangsa penipuan scammer yang bijak memanipulasi keadaan untuk menjerat mereka yang mudah ditipu.Tidak pernah mengambil iktibar biarpun sudah beratus kali diingatkan menerusi media cetak dan media sosial tentang taktik penipuan Macau Scam yang menyamar diri sebagai anggota penguat kuasa untuk menipu wang mangsa.

Jangan terperanjat, sesetengah orang yang ditipu bukan calang-calang orang, malahan bertaraf profesional yang masih berkhidmat atau sudah bersara.Modus operandi sindiket Macau Scam adalah dengan menyamar sebagai anggota polis, pegawai bank, pegawai mahkamah dan sebagainya untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka terlibat dalam sesuatu jenayah.

Semenjak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah penipuan berlaku melibatkan pengguna yang mengakibatkan mangsa terpaksa menanggung kerugian besar apabila ditipu oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam era dunia digital hari ini, tanpa kita sedar sebenarnya nombor telefon kita adalah data peribadi yang paling berharga dan jika diperoleh penjahat, dengan mudah mereka dapat menipu pengguna.

Sebelum lebih ramai yang terkena, berikut merupakan tips untuk elakkan diri anda daripada menjadi mangsa scammer.

1. Jangan jawab panggilan antarabangsa
Ini taktik yang selalu digunakan oleh scammer luar. Jadi, jangan sewenang-wenangnya menjawab panggilan daripada nombor telefon luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.

2. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi
Maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda sila simpan untuk kegunaan anda sendiri sahaja. Jika ada pihak meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut jangan layan panggilan tersebut. Nanti anda termakan ayat-ayat manis scammer!

3. Muat Turun Aplikasi Yang Mencurigakan
Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi Malware atau Spyware yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda. Pastikan aplikasi itu adalah aplikasi rasmi daripada syarikat berkenaan, lagi-lagi yang melibatkan kewangan.

4. Guna Aplikasi Untuk Menyekat Panggilan
Playstore dan iOs sering mengeluarkan aplikasi yang boleh menyekat panggilan. Fungsi ini amat berguna kerana masa panggilan diterima, sesetengah aplikasi boleh mengetahui dan paparkan nombor berkenaan sebagai scammer dan sebagainya.

5. Catat Segala Maklumat Pemanggil
Jika anda menerima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda, catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda.

Kebanyakan sindiket ini memang sudah dilatih dan mahir dalam selok-belok penipuan. Sebab itulah kebanyakan mangsa memang mudah terjatuh dalam perangkap ini. Penting untuk kita tahu cara-cara yang selalu digunakan oleh ‘scammer’ supaya kita dapat didik diri dan tidak sesekali menjadi mangsa.Moga perkongsian ini memberi manfaat dan kepada pengguna di luar sana sentiasalah berhati-hati dengan panggilan yang mencurigakan. Kita haruslah mengambil serius mengenai perkara ini agar dapat bersama –sama membasmi jenayah penipuan scammer agar mereka tidak bermaharajalela menipu orang lain lagi.