Memiliki pelan insurans bukan lagi perkara asing dalam pengurusan kewangan peribadi. Anda mungkin memiliki pelbagai insurans bagi perlindungan kenderaan anda, mahupun insurans hayat jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anda di masa hadapan. Seperti insurans nyawa, insurans hartanah juga sesuatu yang anda perlukan! Ini untuk mengelak apa-apa yang tidak dikehendaki.Ramai orang kata,membeli rumah itu adalah satu investment dan komitmen yang terbesar dalam hidup.Ini kerana pembayaran hutang rumah akan mengambil masa sehingga 35 tahun untuk dilangsaikan.
Jadi, anda sebagai pembeli perlu melindungi pelaburan ini supaya segala pembayaran dapat dilakukan sekiranya berlaku kematian atau apa-apa kejadian di luar jangkaan. Mahu tidak mahu, anda perlu tahu maksud dan beza MRTA vs MLTA.Terdapat dua jenis insurans yang ditawarkan untuk pinjaman perumahan – Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) dan Mortgage Level Term Assurance (MLTA).
MRTA – Pelan insurans hayat yang nilai perlindungannya akan berkurangan dari semasa ke semasa. Digunakan untuk membayar tunggakan pinjaman perumahan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal. Tujuan pembeli membeli polisi MRTA adalah sebagai perlindungan kewangan terhadap baki pinjaman yang belum dibayar sekiranya peminjam hilang upaya kekal keseluruhan atau Total Permanent Disable (TPD) atau berlaku kematian. Sekiranya berlaku kejadian seperti ini, polisi MRTA yang dibeli bersama-sama pinjaman perumahan yang dibuat, akan membayar baki pinjaman yang tertunggak kerana peminjam telah mengalami kehilangan keupayaan untuk membayar.Kos MRTA bergantung pada beberapa faktor seperti umur, nilai pinjaman perumahan dan jangka masa pinjaman perumahan anda. Perlindungan dibayar sekali gus di awal tempoh permulaan polisi.
MLTA – adalah satu lagi jenis jaminan gadai janji. Perbezaan utama ialah penawaran yang lebih daripada sekadar pembayaran balik baki gadai janji yang tertunggak. MLTA juga membantu anda memastikan orang yang anda sayangi menerima bayaran tunai. Ini sering dilihat sebagai alternatif kepada insurans hayat kerana memberi penawaran kepada kedua-dua perlindungan serta faedah tunai. Walaupun BNM tidak mewajibkan pembelian insurans ini, pelanggan yang meminjam dari bank pasti tahu kelulusan pinjaman juga bergantung kepada sama ada mereka mengambil polisi insurans pinjaman perumahan atau tidak. Seperti polisi insurans hayat yang lain, anda perlu membayar sejumlah premium ditetapkan untuk polisi pinjaman perumahan.
MRTA adalah sesuai untuk individu yang hanya ingin membeli sebuah rumah di mana pembayaran untuk perlindungan itu akan dimasukkan sekali ke dalam pinjaman sekali gus memudahkan urusan pembayaran insurans terbabit. MLTA pula dilihat sesuai untuk individu yang ingin melakukan pelaburan dengan membeli lebih daripada satu rumah atau individu yang ingin membeli rumah namun ingin menikmati manfaat lain seperti pelaburan dan pulangan tunai.
Contohnya, kalau anda membeli sebuah rumah bersama pasangan, dan setiap seorang membayar 50% dari bayaran balik bulanan, seandainya berlaku kematian atau hilang punca pendapat, status kewangan pasangan itu pasti akan terjejas. Insurans pinjaman perumahan memberi kelegaan yang anda tidak akan kehilangan rumah tersebut walaupun pasangan tidak lagi boleh membayar pinjaman.
Tips Untuk Pemilik Rumah:
1. Jangan menjadi mangsa kepada ejen hartanah yang cuba meletakkan MRTA dalam pakej pinjaman perumahan tanpa memaklumkan anda tentang keperluannya mengenai kadar faedah.
2. Ketahui sama ada yuran pinjaman guaman dan yuran penilaian turut dibiayai dalam pakej pinjaman rumah anda.
3. Sekiranya anda bercadang untuk menjual hartanah itu dalam masa beberapa tahun, jangan beli insurans gadai janji tetapi jika anda berhasrat untuk menyimpannya untuk jangka masa yang lama atau membeli bersama dengan orang lain, adalah lebih baik jika anda membeli insurans.
Setiap polisi insurans mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pemilihannya bergantung kepada kepentingan diri tanpa sebarang paksaan dan mengikut matlamat kewangan masing-masing. Tiada pilihan yang betul atau salah kerana anda lebih mengetahui apa yang anda perlukan. Apa yang paling penting, pastikan diri dan harta benda anda sentiasa mendapat perlindungan yang secukupnya!