HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Aidil Adha di Malaysia jatuh pada hari ke-10 Zulhijah dan berlangsung selama empat hari iaitu hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Perayaan ini bermula dengan takbir Aidiladha pada 9 Zulhijjah selepas solat maghrib diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha dan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah, yang dipanggil Hari Tasyrik.

Tujuan Hari Raya Haji ini disambut adalah untuk memperingati peristiwa tentang pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. kepada Allah S.W.T. dan kesabaran anaknya, Nabi Ismali A.S. dalam memenuhi perintah Allah.Daging korban akan dibahagikan kepada umat Islam yang memerlukan seperti fakir miskin dan ia adalah satu amalan mulia iaitu bersedekah khas bagi majlis korban tersebut.

Seperti pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan melakukan beberapa tradisi yang tak jauh bezanya pada Hari Raya Haji. Apakah tradisi sewaktu Hari Raya di Malaysia.

Ø Pada pagi 10 Zulhijjah umat Islam di Malaysia berpakaian baru, bersih dan cantik lagi berwarna-warni pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyag sunat Aidil Adha.

Ø Upacara korban selalunya berlangsung selepas selesai sembahyang sunat Hari Raya Haji. Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.

Ø Sebahagian besar umat Islam juga akan ke pusara menziarahi dan bersedekahkan doa buat sanak saudara yang sudah tiada.

Selepas mengerjakan ibadah korban, umat Islam biasanya akan bekerjasama memasak pelbagai juadah dan menjamu ahli keluarga, sanak-saudara dan rukun tetangga. Di sini kita dapat lihat betapa indahnya sambutan Hari Raya Haji ini kerana ia mentautkan ikatan silaturrahim sesama hambanya.Semoga segala amal ibadah kita pada bulan Zulhijjah ini diterima dan semoga mendapat Aidiladha yang diberkati dengan menghayati maksud dan erti pengorbanan yang sebenar. Semoga sambutan Hari Raya Haji di Malaysia dan di negara-negara Islam yang lain pada tahun ini meriah dan penuh dengan keberkatan.