HARI KEBANGSAAN NORMA BARU

Setiap tahun kita akan menyambut kemerdekaan bagi mengenang jasa dan pengorbanan membebaskan tanah air dari penjajah.Untuk memastikan semangat cintakan negara pelbagai program dirancang untuk mempupuk perpaduan terus mekar dalam kalangan rakyat. Menjelang sambutan hari kemerdekaan atau hari kebangsaan Malaysia, perkara utama yang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia pastinya tertumpu kepada reka bentuk logo dan juga tema hari Kebangsaan Malaysia.

Selain Logo dan Tema, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang menghayati makna sebenar kemerdekaan kerana sebuah kemerdekaan itu bukan hanya sekadar retorik pengkisahan sejarah semata-mata. Oleh itu, sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-64 bagi tahun 2021 ini, kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing.

Erti kemerdekaan sebenar pada generasi kini adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa kerana generasi muda berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

Pada tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 akan disambut dalam suasana yang sederhana disebabkan negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Malaysia Prihatin sekali lagi dikekalkan sebagai tema Hari Kebangsaan 2021 pada akhir bulan depan, dengan sambutan rasmi juga dalam norma baharu seperti tahun lepas.Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu disesuaikan dengan suasana wabak Covid-19 ketika ini.

Justeru, itu pelbagai pihak khususnya masyarakat perlu cakna dengan keadaan semasa dan mematuhi peraturan yang digariskan oleh pihak kerajaan demi kebaikan bersama. Namun, aura sambutan hari kebangsaan pada tahun ini perlu dibangkitkan agar semangat patriotisme sentiasa ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia.Logo berbentuk hati dengan corak bendera Jalur Gemilang itu melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berbilang kaum tabah dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.Melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, kita akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum,agama dan latarbelakang.

Rakyat Malaysia, ingatlah untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol cinta kita kepada negara.Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama.Semaikan dalam diri kita dan generasi akan datang terhadap perasaan cintakan negara dengan meraikan Hari Kemerdekaan kita setiap tahun agar apa jua berlaku semangat perpaduan dan cintakan tanah air tidak luntur dalam diri kita.