BERJIMAT CERMAT DALAM MUSIM PANDEMIK COVID-19

Jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk kita berbelanja luar daripada kemampuan termasuklah membuat pembelian secara dalam talian termasuk memesan makanan.Dalam tempoh jangka panjang, tabiat ini boleh memberi ancaman kepada situasi kewangan anda. Sebaik-baiknya rancanglah perbelanjaan anda dan sentiasa beringat ketika membuat sesuatu pembelian.

Penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini cukup meninggalkan pelbagai kesan hinggakan banyak negara mengumumkan lockdown terhadap rakyatnya bagi membendung virus itu terus menular.Jadi, apa kata ambil peluang manfaat dan bantuan diperkenalkan kerajaan untuk lebih berjimat cermat dan bukannya berbelanja mewah. Oleh itu, anda perlu bijak berjimat cermat ketika PKP pada masa ini. Ada beberapa perkara positif yang dapat anda lakukan dengan wang anda bagi mengelak kehabisan wang.

Berikut merupakan cara-cara untuk menjimatkan wang semasa kuarantin atau ‘lockdown’.

1. Agih wang anda- Lakukan agihan pendapatan anda untuk perkara penting seperti membeli barangan dapur serta keperluan rumah. Bagaimanapun, jangan buat pembelian panik kerana ia akan membuatkan anda berbelanja melebihi bajet dengan membeli barangan yang sebenarnya langsung tidak diperlukan.Tambahan pula, kerajaan telah memberi jaminan bekalan makanan cukup sepanjang tempoh PKP dan pasar raya akan dibuka seperti biasa.

2. Jangan Bazirkan Makanan– Berjimat-cermat bukan hanya dengan menjimatkan wang tetapi ia juga berkaitan menjimatkan bekalan makanan yang ada. Anda perlu berfikir panjang sebelum membazirkan sumber bekalan makanan anda miliki.

3. Menabung– Kebanyakan bank menawarkan Moratorium, jadi, dengan penangguhan ini kita boleh menyimpan wang ansuran bulanan tersebut untuk kegunaan pada waktu kecemasan nanti dan ingat jangan gunakan wang ini untuk berjoli dan sebagainya.Jika anda tidak pernah menabung sebelum ini, sekarang adalah masa paling sesuai berbuat demikian sebagai persediaan masa hadapan yang tidak menentu.Disiplinkan diri anda untuk menolak 30 peratus daripada gaji anda sebagai simpanan untuk kegunaan pada masa kecemasan.

4. Latih diri Menahan Nafsu Belanja-Sekarang bukan masa yang sesuai untuk “beli dahulu, fikir kemudian”. Kalau buat juga, “kesihatan” kewangan ada potensi besar untuk jatuh merosot. Risau kelak kita sendiri yang rasa rugi, sebab terikut nafsu berbelanja yang langsung tak beri manfaat kat kita.

5. Senaraikan semua jenis hutang dan semak perberlanjaan. Yang selalu menjadi masalah apabila kita tidak tahu pergi mana wang yang kita jana sebab tidak dapat urus wang dengan betul. Hutang pula makin bertambah dan rasa kesempitan duit.

Amalan berjimat cermat itu amat penting untuk menjamin kewangan kita pada masa hadapan. Oleh itu, kita haruslah mempraktikkan amalan ini sejak dari azali lagi. Bak kata pepatah, bersusah dahulu, bersenang-senang kemudian. Bukan itu sahaja, kita juga haruslah memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat cermat dan kita juga perlu menunjukkan teladan yang baik supaya generasi akan datang dapat mencontohi sikap ini. Amalan ini harus ditanam dalam diri masing-masing sejak dari kecil lagi oleh ibu bapa bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya sebelum nasi menjadi bubur. Semoga segala masalah kewangan yang melanda dapat diselesaikan dengan baik dan kita dapat mengharungi musim pandemik ini bersama-sama.