BEKERJA DARI RUMAH DAN KEKAL PRODUKTIF

Ketika penularan COVID-19, bekerja dari rumah membantu mengurangkan risiko jangkitan melalui kurangnya kontak langsung antara pekerja dengan mereka yang berpotensi menjadi pembawa virus. Keadaan ini ditambah dengan penyebaran wabak ini yang juga boleh berlaku bagi mereka yang tidak mempunyai tanda-tanda awal jangkitan. Penjarakan sosial (social distancing) dapat dijalankan dan hal ini akan dapat memutuskan rangkaian COVID-19 dan menjadi antara mekanisma kawalan.

Bekerja dari rumah memang kedengaran menyeronokkan kerana tidak perlu ke pejabat tetapi ia sebenarnya boleh menjadi perkara sukar jika kita tidak bijak menguruskan masa.Silap langkah, bekerja dari rumah atau lebih mudah disebut WFH (work from home) boleh membuatkan kita tertekan dan itu belum lagi pelbagai gangguan lain yang boleh mengganggu semua tugas yang patut diselesaikan.

Paling penting, bekerja dari rumah pada masa ini adalah salah satu cara menunjukkan keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam menghapuskan penularan wabak itu. Tahap pengetahuan dan kefahaman pekerja adalah rendah apatah lagi apabila mereka diminta untuk mengaplikasikan konsep itu secara serta-merta. Ini menyebabkan mereka tidak mengetahui apa yang patut dilakukan.

Sebagai pekerja yang berdedikasi untuk menghasilkan hasil kerja yang bagus semasa bekerja di rumah, berikut merupakan beberapa tips yang anda boleh ikuti:

· Sediakan Ruang Kerja Produktif
Suasana di rumah perlu diubah suai untuk dijadikan suasana seperti di tempat kerja. Ini supaya anda boleh memberitahu minda anda untuk menjadi lebih produktif. Jadi, pastikan anda sediakan ruang kerja anda di rumah dengan kemas serta mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan kerja anda.

· Elakkan tempat yang mengundang bunyi bising berlebihan daripada ahli rumah
Kajian menunjukkan gabungan muzik lembut dengan bunyi alam seperti air terjun, hujan, sungai atau ombak mengaktifkan bahagian menenangkan otak, sekali gus membantu dalam menumpukan perhatian serta menurunkan kadar jantung dan tekanan darah.

· Buat check list atau to-do list
Menetapkan jadual harian dan kenalpasti jenis kerja atau deadline yang anda perlu laksanakan dan apabila anda tahu apa yang anda perlu lakukan, anda akan lebih bermotivasi untuk menyelesaikannya.

· Manfaatkan komunikasi video
Untuk terus berhubung dengan ahli pasukan atau rakan pejabat, boleh membuat panggilan video dan telesidang. Kita perlu sentiasa bersedia dan standby handphone mesti berada disisi supaya kita dapat berikan komitmen yang baik kepada rakan sekerja disaat mereka perlukan kita. Sentiasa memberikan kerjasama dengan berhubung dan memberikan respon yang baik kepada mereka untuk menghasilkan hasil kerja yang bagus ketika bekerja di rumah.

· Sentiasa bergerak walau terpaksa bekerja dari rumah
Jangan hadkan satu ruangan saja. Anda boleh siapkan kerja di beberapa lokasi lain dalam rumah anda. Ini bagi mengelakkan kebosanan dan menjaga postur tubuh.

· Gunakan kaedah Pomodoro
Kaedah Pomodoro adalah teknik pengurusan masa. Anda disarankan melakukan kerja selama 25 minit, dan ambil masa sebanyak 5 minit selepas itu untuk berehat. Lakukan kaedah ini sepanjang anda kerja dari rumah.

· Bekerja Maksimum Ketika Produktiviti Puncak
Anda mesti mengetahui masa puncak produktiviti anda terlebih dahulu. Sekiranya anda sudah mengetahui masa produktif anda untuk melakukan banyak tugas, semakin banyak kerja yang dapat anda selesaikan dalam masa yang lebih singkat. Pada waktu puncak produktiviti ini, anda harus fokus untuk melakukan tugas sahaja.

Diharap konsep bekerja dari rumah yang diperkenalkan dapat difahami dan barulah tindakan terhadapnya dapat dilakukan secara sistematik dan terkawal. Tidak dinafikan penguatkuasaan konsep bekerja dari rumah yang diambil oleh kerajaan adalah sebagai satu langkah yang bijak untuk membendung penularan wabak COVID-19.