6 TIPS MENGURUSKAN KEWANGAN DENGAN BIJAK

Pengurusan wang mungkin dianggap suatu istilah yang rumit dan konsep yang tidak mudah difahami oleh ramai orang. Namun demikian, jika bermula dengan bijak dan membahagikannya kepada langkah-langkah lebih kecil dan mudah, maka ia menjadi lebih mudah untuk mengawal cara anda berbelanja dan menyimpan wang!

Mengikut kajian yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, tiga daripada empat rakyat Malaysia didapati sukar untuk mengadakan simpanan serendah RM1,000 bagi tujuan kecemasan. Statistik tersebut juga turut melibatkan individu yang bekerja swasta mahupun individu yang bekerja kerajaan.

Masalah kewangan dan risiko dibebani hutang boleh menimpa sesiapa sahaja jika mereka tidak tahu cara bagaimana menguruskan kewangan secara berhemah. Namun, melalui pengurusan kewangan yang bijak pasti membantu anda merancang pendapatan dengan baik.

Berikut 6 tip yang boleh dijadikan panduan dalam mengurus kewangan anda secara berhemah:

1. Setiap kali terima gaji bulanan, pastikan anda mengasingkan sejumlah wang sekurang-kurangnya 10% untuk dijadikan simpanan.

2. Utamakan keperluan berbanding kehendak diri. Jelaskan segala komitmen bulanan seperti kereta, rumah dan bil-bil bulanan terlebih dahulu dan kemudian baharu memasang niat untuk berbelanja ke arah memenuhi kehendak diri.

3. Belanja mengikut kemampuan, elakkan berhutang untuk barang yang bukan menjadi keperluan. Kecuali untuk membeli barang yang tidak mampu dibeli secara tunai seperti kereta dan rumah.

4. Wujudkan akaun simpanan yang tidak menggunakan kad ATM supaya mengelakkan anda mengeluarkan wang sesuka hati. Sebagai contoh simpanan ASB di mana pengeluaran wang hanya boleh dilakukan di kaunter bank.

5. Pastikan anda mempunyai pelan insurans yang mampu melindungi diri anda dan keluarga secara komprehensif. Kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan. Jadi sebaiknya, mencegah lebih baik daripada mengubati.

6.Disiplin diri . Kita berdisiplin bukan bermaksud kita kedekut. Jika anda tidak ada disiplin dalam diri, macam mana anda hendak menguruskan wang anda dengan bijak? Mahu menjadi seorang yang gagal selamanya? Dunia sangat mencabar saban hari, segala-galanya memerlukan wang & jadilah seorang yang bijak.

Perancangan kewangan memberikan anda petunjuk untuk berusaha ke arah mencapai matlamat anda dan dengan perancangan yang baik, anda boleh membina kehidupan yang selesa di masa hadapan.